Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang ingin dipanjangkan umur dan diluaskan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya serta menyambung silaturahim.” (HR Ahmad bin Hambal)
Perihal umur sangat menarik diperkatakan sementelah hal ini juga selalu diucapkan sama ada dalam doa mahupun harapan seseorang. Namun persoalannya adakah umur seseorang boleh dipanjangkan?
“Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangi umurnya melainkan (sudah ditetapkan) dalam kitab (Luh Mahfuz). Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah.”(Fathir:11).
Ibnu Abbas berkata, “Tidak ada seseorang pun yang memiliki umur panjang atau hidup dalam waktu yang lama kecuali memang telah ditetapkan demikian di dalam kitab Luh Mahfuz. Usianya akan berakhir pada waktu yang telah tercatat di dalam kitab itu. Tidak ada seorang pun yang memiliki umur pendek atau hidup hanya sebentar, kecuali telah ditetapkan demikian di dalam kitab. Usianya akan berakhir pada waktu yang telah dicatat di dalam kitab itu.”
At-Thabari menyebut bahawa di antara pendapat para ahli takwil tentang tafsir ayat di atas adalah umur seseorang tidak akan dipanjangkan dengan mengurangi atau mengambil umur orang lain. Sehingga orang yang diambil umurnya itu hidup dalam jangka waktu yang lebih pendek. Hal demikian tidak akan terjadi kerana usia setiap manusia sudah tercatat di dalam kitab Luh Mahfuz.
Jika seseorang hidup seratus tahun lalu meninggal, sepanjang itulah usia hidupnya yang tercatat di dalam kitab. Atau seseorang yang meninggal di usia yang masih sangat muda, memang demikianlah usia hidupnya yang tercatat di dalam kitab.
Diriwayatkan dari Abu Darda RA Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan menunda kematian seseorang apabila ajalnya telah tiba. Tambahan usia diberikan kepada seorang hamba kerana kesan dari doa anak-anak dan keturunannya yang soleh setelah dia meninggal dunia. Itulah tambahan umur yang boleh diperoleh.”- MAJALAH DAKWAH
KOMEN