KUALA LUMPUR – Tiada halangan kepada mana-mana pihak khususnya golongan asnaf untuk memohon bantuan zakat kali kedua atau ketiga daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon, berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk membantu orang ramai yang dalam kesusahan meskipun individu itu sebelum ini sudah dibantu.
“Bantuan kecemasan dalam tempoh ini diberikan kepada mereka yang terbeban dengan keadaan semasa dan sekiranya mereka mahu mengulang (mendapat bantuan) untuk kali kedua kita tiada bantahan
“Begitu juga mereka yang sudah diberikan bantuan kali kedua dan mahu memohon lagi. Kita faham kerana setiap yang memohon pastinya sedang berada dalam kesusahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian sumbangan terhadap mereka yang terjejas di Projek Perumahan Rakyat Permai, di sini, hari ini.
Akbar berkata, sepanjang tempoh memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini, sebanyak 15,664 orang sudah diberi sumbangan oleh MAIWP dan dijangkakan akan berlaku pertambahan dari semasa ke semasa ekoran perlanjutan PKPB.
“Sesiapa yang mahu meminta bantuan, dipersilakan dan siapa yang layak akan terus diberi bantuan segera, namun setiap permohonan akan dilihat terlebih dahulu.
“Bantuan yang diberikan ini adalah amanah daripada pembayar zakat dan walaupun ia tidak seberapa, mereka yang menerima kena bersyukur kerana ia sedikit sebanyak meringan bebanan yang ada,” katanya.
MAIWP ketika ini sudah memperuntukkan sebanyak RM4.36 juta fidyah dengan 545,00 pek makanan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan di sekitar ibu negara.
Malah MAIWP turut meluluskan sebanyak RM6.07 juta menerusi Bantuan Zakat Kecemasan COVID-19.
Menerusi misi MusaadahCOVID19 yang digerakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebanyak RM42.59 juta Dana Zakat MAIWP Prihatin diagihkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – Berita Harian
KOMEN