Home » Langit Terbuka » BNM lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah

BNM lantik semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah

Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS), termasuk Mufti Selangor Datuk Setia Dr Anhar Opir.

Dua ahli lain yang dilantik semula ialah Dr Marjan Muhammad, Timbalan Presiden Penyelidikan Universiti INCEIF, dan Dr Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Bhd.

Anhar dilantik semula dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026, Marjan dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2027, dan Ahmad Basri dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Pelantikan itu dibuat menurut Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Dengan pelantikan semula ini, MPS akan dibarisi tujuh orang ahli. Ahli MPS lain termasuk Profesor Universiti INCEIF Prof Dr Ashraf Md Hashim sebagai Pengerusi dan Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai Timbalan Pengerusi.

Ahli lain ialah Profesor Universiti INCEIF, Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin, dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.

BNM merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan mereka. Mohd Zawawi akan menamatkan perkhidmatan sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, manakala Zainal Abidin telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024.

MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *