Home » Langit Terbuka » Blueprint Sosio-ekonomi Rahmah, fokus basmi kemiskinan

Blueprint Sosio-ekonomi Rahmah, fokus basmi kemiskinan

Fuziah ketika mendengar penerangan daripada Yang Dipertua YADIM (kiri) pada Hari terbuka YADIM

PUTRAJAYA – Blueprint Sosio-ekonomi Rahmah yang bertujuan mencipta model bagi membasmi kemiskinan dalam negara sedang dibangunkan di bawah blueprint Dasar Negara Rahmah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh berkata, pembangunan sosio-ekonomi tersebut merupakan salah satu kluster utama yang sedang dirangka untuk dikembangkan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengakhiri kemiskinan.

“Kalau kita lihat, penerima Bantuan Sara Hidup terdiri dari 80 peratus orang Islam. Kerana itu, blueprint sosio-ekonomi ini akan diusahakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi ummah.

“Kita mahu mencari jalan bagaimana dapat memberi khidmat kesihatan, pendidikan, perumahan dan persekitaran yang terbaik untuk masyarakat hidup dalam keadaan yang ada maruah diri.

“Jadi model itu kita akan masukkan dalam blueprint Sosio-ekonomi negara rahmah ini. Kita juga bercadang untuk membangunkannya di peringkat permulaan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2019, di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat-syarikat swasta melalui projek CSR mereka diharap dapat membantu golongan asnaf dan miskin sekali gus mengelak pemikiran yang gemar bergantung pada bantuan kerajaan.

Menyedari institusi zakat juga tidak mampu menampung sepenuhnya inisiatif membasmi masalah kemiskinan, Fuziah dengan itu berkata, inisiatif membangunkan Darulmal di bawah blueprint sosio-ekonomi rahmah kini sedang dibangunkan.

“Darulmal ini merupakan konsep yang kita sedang bina yang akan dimulakan di Wilayah Persekutuan. Dalam blueprint itu ada konsep Darulmal kerana kalau kita nak basmi kemiskinan, kita kena ada dana dan tidak mencukupi sekiranya kita hanya mengharapkan dana zakat.

“Sebenarnya institusi zakat adalah untuk memperkasa golongan ini dan mengeluarkan mereka dari kategori penerima zakat kepada pemberi zakat.

“Kita juga kena berganjak dari pemikiran bahawa kita memerlukan dana daripada kerajaan. Kita boleh bekerjasama dengan syarikat swasta melalui program CSR mereka seperti yang dilakukan Bank Islam bagi membantu membangunkan tanah wakaf,” ujarnya. – Malaysia Dateline

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *