TAJUK : BIRU LANGIT ITU
TAHUN TERBIT : 2015
HARGA : 25.00
ISBN : 978-967-5128-27-1
HALAMAN : 245 MUKA SURAT
DISELENGGARAKAN OLEH : ZALILAH BAHARI, SITI SUHAFZAN SH IBRAHIM, NOORZIHAN MOHAMED YIN, ANNA ADNAN
PENERBIT : YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
Antologi Sayembara Penulisan Dakwah (Cerpen) ‘Biru Langit Itu’ merupakan penerbitan pertama Yadim dalam bentuk penulisan kreatif berunsur Islam. Antologi ini menghimpunkan 25 buah cerpen yang telah dinobat sebagai pemenang Pertandingan Penulisan Cerpen ‘Menjejak Cinta’ dengan mengangkat tema dakwah dan kasih sayang.
Pertandingan ini dicetuskan hasil daripada Program Dakwah Negara 2014 yang dianjurkan di seluruh negara. Antara objektif yang digariskan daripada pertandingan ini adalah untuk melahirkan penulis-penulis yang berminat untuk berdakwah melalui penulisan, menyemai nilai bahawa Islam adalah agama kasih sayang, memperjelaskan maksud dan tanggungjawab dakwah melalui penceritaan.
Mengangkat tema dakwah dan kasih sayang, Yadim melihat tema ini amat relevan dengan cabaran-cabaran kehidupan yang semakin menghimpit masyarakat terutama umat Islam pada hari ini. Cerpen-cerpen yang dilihamkan oleh para penulis diharap boleh membawa pembaca untuk menghargai nilai kasih sayang dan melihat dakwah dari kaca mata yang sangat luas.
Senarai cerpen yang dimuatkan di dalam buku ini ialah:
1. “Adik Sayang Tuhan!” 16. “Kedamaiannya di Sekolah Pondok”
2. “Bertemu di Pintu Abyadh” 17. “Kelibat Musafir Delnias II”
3. “Biru Langit Itu” 18. “Margaret”
4. “Cebisan Cinta” 19. “Masjid Atas Bahu”
5. “Cinta Bertasbih di Belfast” 20. “Meniti Rindu”
6. “Cinta Dalam Lipatan Dakwah Kita” 21. “Pada Buya Hatinya Masih”
7. “Dandelion” 22. “Paksi Cinta”
8. “Hadiah” 23. “Peripeteia”
9. “Hati” 24. “Sang Pelangi”
10. “Helah Dunia” 25. “Wilona”
11. “Hidayah”
12. “Hijrah Roha, Rohaya”
13. “Idan”
14. “Istikharah Cinta”
15. “Jeritan Naluri”
ANTARA SINOPSIS CERPEN
1. Cinta Dalam Lipatan Dakwah Kita – Muhammad Ghazali b Mohd Ros
Mengisahkan tentang seorang penuntut jurusan Persuratan Melayu yang amat menyedari tentang pentingnya tugas-tugas dakwah yang harus dipikul oleh setiap individu Muslim. Atas dasar itu, walaupun tidak mempunyai kemahiran dalam bahasa Arab, beliau telah mengikuti subjek Dakwah dan Ideologi Moden sebagai subjek tambahan. Beliau kerap berdiskusi dengan Ustaz Arif, pensyarah kuliah dakwah yang sentiasa tenang dan sabar.
Pendekatan dakwah beliau melalui dakwah bil hal dipaparkan ketika beliau mengejutkan teman sebiliknya yang culas dan beralasan untuk mengerjakan solat. Menariknya, penulis telah menyampaikan perutusan ini dengan latar sejarah dengan menghidupkan kembali kesedaran tentang sejarah Melaka ketika dijajah oleh Portugis yang dikaitkan dengan permasalahan dakwah masa kini.
2. Biru Langit Itu – Siti Nazurah binti Mohd Kamel
Cerpen ini mengangkat kisah tentang seorang anak gadis yang telah mendirikan rumahtangga dan sedang mengimbau kenangan bersama ibunya yang sangat tabah dan hebat di kaca matanya. Beliau telah melalui fasa penderitaan sewaktu kecil disebabkan oleh pengabaian kasih sayang dan perhatian daripada seorang lelaki bernama ayah.
Walaupun pernah melalui kehidupan yang sukar, beliau telah bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang ternyata amat jauh perwatakannya dengan ayah yang harus disanjung kerana jasa dan pengorbanannya. Oleh sebab itu, beliau sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki tersebut.
Penulis menggambarkan watak utama yang benar-benar beremosi ketika mengimbas pengorbanan ibunya. Kekaguman dan kasih sayang beliau terhadap ibu sangat tinggi kerana ibu ini tidak pernah mengeluh malah sentiasa memberi nasihat yang positif kepada sang anak.
3. Hadiah -Siti Rahmah binti Mokhtaruddin
Mengetengahkan tema dakwah yang amat halus apabila seorang anak yang masih kecil berusaha untuk berdakwah kepada mad’unya iaitu ibu kandungnya sendiri.
Kisah bermula apabila Amir Fikri, murid tahun 6 yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR mengharapkan supaya gurunya mendoakan kejayaannya dalam peperiksaan tersebut. Penulis memaparkan pertanyaan demi pertanyan yang sering diajukan oleh Amir Fikir kepada gurunya bagi memahami maksud sebenar syariat menutup aurat bagi seorang wanita.
Walaupun pada mulanya dia keberatan untuk meluahkan tetapi keberanian itu dipamerkan apabila ibunya menjanjikan untuk meminta apa sahaja sekiranya dia memperolehi 5A. Kejayaan itu amat diperlukan bagi menebus hadiah yang telah dijanjikan oleh ibunya. Hadiah yang paling berharga iaitu melihat ibunya menutup aurat.
Anda boleh menghayati kisah-kisah teladan yang terkandung di dalam buku ini dengan pelbagai plot yang dibawakan oleh para penulis. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua penulis! Semoga usaha berdakwah melalui kalam dengan mesej yang penuh tanggungjawab dapat diteruskan pada masa akan datang.
KOMEN