Kuala Lumpur – Sebarang penambahan kos ibadat haji akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan kos dan penambahan syarat berikutan penularan wabak Covid-19.
Katanya, unjuran kos juga belum dapat ditentukan pada masa ini kerana belum ada simulasi khusus mengenainya.
“Dalam masa terdekat kita akan kira kos-kos keseluruhan dan diperincikan oleh TH.
“Saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk berbincang isu haji dengan menteri haji dan agamanya.
“Perincian keputusannya mungkin akhir hulan Januari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-37 di ibu negara, pada 22 Disember.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.
Dr Zulkifli berkata, orang ramai digalakkan untuk menambah simpanan dalam TH, namun sebarang makluman berhubung kos tidak akan dibuat secara mengejut.
“Sebaiknya (simpan) sekarang. Tapi apa pun kita akan bincang masuk dalam kabinet dan bincang. Kita akan bercakap dalam satu bahasa tak mengejut. Bincang macam mana setakat ini,” katanya.
Menyentuh muzakarah berkenaan, beliau berkata, ia penting bagi mencari pendirian dan pendekatan yang baik dalam menghayati istitaah dalam menjalani ibadat haji.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan aplikasi THiJARI iaitu proses rayuan haji secara dalam talian.
Dengan adanya aplikasi itu, orang ramai tidak lagi perlu hadir ke kaunter untuk urusan rayuan ibadat haji seperti sebelum ini. – Harian Metro
KOMEN