Home » Persuasif » Betapa Ramai ‘Pandir’ Di Dunia

Betapa Ramai ‘Pandir’ Di Dunia

Oleh HAFEEZ NUR

Dunia kini di ambang kebingungan. Masing-masing cuba menunjukkan kepandaian, walhal yang sebenarnya lebih kepada kebodohan. Yang ahli dan sering disanjung, seperti tidak mengamalkan pendirian fikiran; lebih menganjurkan rasa hati dan perasaan semata. Salah dibenarkan, manakala yang benar dinafikan kebenarannya.

Masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Berlumba-lumba menafi, menuduh dan menyakiti hati jiran, rakan dan taulan. Sememangnya bingung lagi membingungkan. Sepatutnya perkara yang benar-benar mendesak seperti kebajikan manusia yang terhimpit dan teraniaya didahulukan. Malangnya, perkara-perkara remeh pula menjadi topik pilihan.

Sememangnya manusia akan kelihatan bodoh jika tidak menggunakan anugerah terbesarnya, iaitu akal fikiran. Manusia akan kehilangan arah tujuan sekiranya hala tujunya tidak dilandaskan dengan ajaran agama dan akal. Kegopohan dalam menurut nafsu dan emosi hanya akan menghasilkan sesuatu yang sia-sia.

Gopoh, Kecoh!

Kegopohan dalam bertindak mungkin menyebabkan kesilapan berlaku. Akibatnya, kita terarah kepada membuat kesimpulan yang salah. Bodohnya, bila sifat gopoh ini mengakar umbi dalam diri, seseorang mudah mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu baik buruknya. Dalam pergaulan dan perbincangan, sikap gopoh itu boleh membuatkan orang lain tersinggung, benci dan akhirnya berlaku perpecahan hati yang akan membawa perpecahan yang lebih besar lagi iaitu perpecahan ummah. Malang kerana akibat daripada kegopohan ini, manusia lebih cenderung mencari, menghukum dan meletakkan kesalahan pada orang lain.

Memanglah salah satu di antara tabiat semulajadi manusia ialah bersifat gopoh. Malah ini telah dinyatakan sendiri oleh Allah Taala dalam surah al-Anbiya’ ayat 37 yang bermaksud: “Dijadikan manusia itu bersifat terburu-buru atau gopoh-gapah.” Itu hakikat yang tidak boleh disangkal. Lagi parah, jika sifat gopoh ini didorong dengan ego dan sikap hidung tinggi. Apatah lagi bila ditambah dengan  faktor-faktor seperti memiliki pangkat yang tinggi, kaya harta dan memiliki kuasa, lagi kecoh; gawat jadinya!

Analogi sifat gopoh ini bolehlah kita ibaratkan seperti benih pokok. Ia akan bertunas, berdaun dan berbatang; jika tidak dididik dengan baik, akhirnya ia akan membesar subur dan berbuah pula. Sampai kepada peringkat ini, sifat gopoh benar-benar telah berakar umbi dan mendarah mendaging di dalam diri manusia hingga menjadi tabiat, sikap dan seterusnya sebati menjadi budaya hidup.

Banyak contoh yang dapat dipertontonkan pada masa kini; contoh yang menunjukkan manusia, tidak kira pangkat dan jawatan menjadi pemangsa dan mangsa kekacauan dan kebingungan akibat daripada sifat gopohnya yang sudah berakar umbi dan kacaunya emosi. Tidak perlulah dinyatakan satu-persatu, cukup sekadar diperhatikan keadaan dunia yang sedang kacau-bilau ini. Mana yang muflis dan pokai, mana yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mana yang terdesak, mana yang bergelandangan, mana yang kebuluran, mana yang menghadapi peperangan, mana yang huru-hara, mana yang bertikam lidah dan menikam belakang kawan; semuanya gara-gara kekacauan dan kekalutan fikiran!

“Allah sendiri sudah jadikan sikap gopoh dalam diri setiap hamba-Nya, apa kuasa kita menidakkan sifat kurniaan Allah ini?”

Jangan melulu membuat tafsiran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa.” (HR Muslim). Jadi, mahu bertindak seperti syaitankah?

Fahamkan betul-betul di sini. Walaupun sifat gopoh sudah ditanamkan dalam diri setiap manusia tetapi sifat ini boleh dilentur dan dididik. Jika tidak berusaha mendidik dan bermujahadah dengan nafsu yang gopoh-gapah dan gelojoh ini, maka benih gopoh yang Allah SWT cipta dalam diri manusia ini akan membawa kemudaratan bukan sahaja kepada diri, malah kepada masyarakat keseluruhan.

Yang Baik Mungkin Membawa Fitnah!

Kisah daripada satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sesuai dijadikan pengajaran hidup betapa sifat gopoh mendatangkan fitnah yang cukup besar. Kisah Muaz Bin Jabal RA yang mempunyai sikap berkobar-kobar hendak melakukan kebaikan tanpa melihat realiti kaumnya.

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Sesungguhnya Muaz Bin Jabal RA pernah solat bersama Rasulullah SAW, kemudian dia datang kepada kaumnya, dan menjadi imam solat Isyak bersama mereka. Ketika beliau mulai dengan surah al-Baqarah, seorang lelaki menarik diri dari solat yang diimami Muaz (mufaraqah), dan kemudiannya solat bersendirian lalu beredar.

Kemudian orang-orang menegurnya: “Hai fulan, apakah engkau telah munafik?” Kemudian lelaki itu menjawab: “Tidak, demi Allah. Sesungguhnya aku akan menemui Rasulullah SAW dan memberitahunya akan hal ini.” Lalu lelaki itu datang berjumpa Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami kaum yang bekerja dengan tangan-tangan kami (peladang), dan kami menyiram tanaman dengan alat penyiram air, dan sesungguhnya Muaz telah mengimami solat kami kelmarin, kemudiannya dia membaca (surah) al-Baqarah, maka saya menarik diri. Mendengar hal itu, Baginda menegur Muaz dan bersabda: “Adakah kamu seorang yang membawa fitnah wahai Muaz? Kalaulah kamu menjadi imam, bacalah Wassyamsi wa Dhuhaha (surat As-Syams), Wadh Dhuhaa (ad-Dhuhaa), Wal laili idza Yaghsyaa (al-Lail) dan Sabbihisma rabbikal a`laa (al-A`laa).” (HR Muslim).

Tidakkah kisah ini memberikan pengajaran bahawa perkara mahupun perbuatan yang baik jika dilakukan dengan tidak melihat kepada keadaan semasa dan setempat akan membawa fitnah dan perselisihan? Tidak kira betapa bersemangat untuk melakukan perkara baik jika dengan bergopoh-gapah dan tanpa melihat kepada realiti hanya akan menimbulkan fitnah yang lebih besar. Sifat gopoh Muaz RA mendapat teguran keras daripada Rasulullah SAW sendiri. Disebalik kisah ini dapat juga disimpulkan bahawa kita tidak seharusnya terlalu keras dalam mempertahankan pandangan yang dirasakan benar, tanpa memperhalusinya berasaskan hakikat dan situasi semasa.

Ingatlah, Kita Sentiasa Di Bawah Pantauan-Nya!

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.” (HR Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36).

Sebelum kita terus-menerus ‘menabur baja’ dan ‘menjaga subur’ sifat gopoh dalam diri, kita harus mengambil langkah untuk melentur dan mendidiknya supaya ‘tumbesarannya’ kekal terkawal. Caranya adalah merabuki hati dengan sifat annah. Annah ialah ciri hati yang membimbing seseorang supaya membuat pertimbangan terlebih dahulu, bertenang, penuh hemat dan berhati-hati dalam mengerjakan sesuatu urusan.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, sifat anaah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu tawaqquf dan taanni. Tawaqquf bererti meneliti dengan cermat dalam menentukan kebenaran tentang sesuatu perkara sebelum bertindak. Manakala maksud taanni pula adalah sikap berhati-hati dan tidak mudah melatah dalam merancang dan menjalankan urusan.

Dalam menanamkan sifat anaah dalam diri, perkara yang perlu sentiasa ditanamkan dalam ingatan adalah pengakuan bahawasanya walau apa yang dikerjakan, yang akan dikerjakan dan telah dikerjakan tidak pernah terlepas walau sedetik pun daripada pengawasan Allah SWT. Jiwa, harta dan segala yang dimiliki adalah milik-Nya dan dalam genggaman-Nya. Sebaiknya janganlah mengundang murka-Nya kerana azab-Nya sangat pedih.

Bertindak dan Berfikirlah Dengan Bijaksana

Dalam Islam, kestabilan minda dan celik emosi adalah asas yang amat penting bagi manusia. Cerdas akal saja tidak cukup. Ia memerlukan kecelikan emosi untuk mengenal dan memahami dalam membuat pertimbangan yang terbaik supaya penyelesaian kepada masalah dan jawapan terhadap isu berada di tahap yang terbaik dan terunggul.

Bertenanglah dalam menghadapi suatu situasi yang menggusarkan kerana hanya demikian baru kita dapat berfikir dengan baik. Berfikirlah dengan tenang dan cermat walaupun perlu melakukannya berpuluh kali kerana tindakan tanpa berfikir hanya akan menghasilkan tindakan bodoh, lalu jatuh ke dalam jerat musuh ataupun memalukan diri sendiri.

Saranannya di sini adalah dari terus-menerus melayan sifat gopoh lagi bodoh, lagi baik mengikut cadangan Rasulullah dan mengambil ikhtibar dari kata-kata Saidina Ali RA. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang percaya dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berlaku baik dan diam.” (Muttafaq ‘alaih: Al-Bukhari, no. 6018; Muslim, no.47). Saidina Ali RA pula berkata: “Seseorang mati kerana tersandung lidahnya, seseorang tidak mati kerana tersandung kakinya,tersandung mulutnya akan menambah (pening) kepalanya, sedang tersandung kakinya akan sembuh walau perlahan.”

Berfikirlah dahulu dengan perasaan dan emosi yang tenang kerana hanya dengan ini sahajalah jalan keluar daripada kekalutan dan kebodohan. Jangan menambahkan ‘Pandir’ yang sedia ada banyaknya!

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *