Home » Wacana » Bersegeralah Melakukan Amalan Baik!

Bersegeralah Melakukan Amalan Baik!

Oleh ARISSA A.

Diam tak diam, tahun 2015 telah pun melabuhkan tirainya.  Segala peristiwa yang manis mahupun yang pahit tidak akan dapat diulangi lagi. Walau sehebat mana pun manusia itu, yang pergi tetap akan pergi. Peluang yang tinggal untuk bermuhasabah, memperbaiki diri, menimba ilmu atau apa jua yang terhasrat di relung hati ada terbentang di masa hadapan setiap diri manusia. Namun itu hanya perancangan kerana Allah yang akan menentukan.

Sebagai manusia yang tunduk kepada keesaan Allah harus sentiasa mengingati bahawa setiap perjalanan dalam kehidupan itu adalah sebahagian destinasi.  Tidak kira destinasi itu adalah tempat yang ingin kita tujui atau sebaliknya tetapi itulah pencapaian yang kita raih. Oleh sebab itu, bersegeralah melakukan kebajikan dan amal kebaikan agar segala yang dilakukan itu tidak membuatkan kita dalam kerugian.

Tidak perlu tunggu sehingga menjadi orang kaya atau pemimpin baharu hendak berbakti dan membuat amal jariah kepada masyarakat. Jadi diri sendiri sudah mencukupi. Yang penting bersegeralah melakukan amalan baik dan berdakwah di jalan Allah. Sesungguhnya esok atau lusa kita akan mati dan setiap yang berlaku tidak dapat diduga.

Benarlah pepatah lama yang mengatakan bahawa masa itu emas. Ini kerana sedetik masa yang berlalu tidak akan dapat berulang kembali. Manusia yang mensia-siakan masa adalah manusia yang mendapat kerugian di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan orang yang menyeru kepada kebenaran dan kesabaran.” (al-Asr: 1-3)

Sesungguhnya manusia yang rugi ialah manusia yang lalai daripada tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Manusia inilah yang suka melakukan perkara yang tidak berfaedah. Alangkah baik sekiranya manusia mengetahui akan balasan  yang diterima daripada Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Ali-Imran: 133).

Namun, sungguh mendukacitakan, kerana amal kebajikan, meskipun menjanjikan ganjaran pahala dan syurga, masih tidak mampu meniup semangat setiap Muslim dan Muslimah untuk melakukannya. Ada yang disebabkan perasaan malas, lalai, sibuk mengejar dunia, godaan syaitan dan lain-lainnya. Maka, peluang melakukan amal kebajikan terlepas begitu sahaja. Sedangkan jika ada kemahuan, banyak kesempatan dan waktu yang terluang pada diri setiap umat Islam.

Penyakit bertangguh atau berlengah ini sudah menjadi lumrah di dalam kehidupan masyarakat dengan gemar berkata ‘nanti dulu’, ‘sekejap’, ‘tunggu esok’ dan macam-macam lagi. Sikap menunda waktu untuk menyempurnakan kerja yang baik ini bukan sahaja akan terbawa-bawa dalam hal peribadi malah dalam masyarakat dan juga di tempat kerja yang akhirnya membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan juga orang lain secara tidak langsung.

Oleh kerana perbuatan berlengah itu mengundang kerugian, maka Rasulullah SAW memperingatkan umatnya agar tidak membuang masa dalam melakukan kebaikan selagi ada kesempatan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara lain iaitu masa mudamu sebelum datangnya masa tuamu; sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu; masa kayamu sebelum datangnya masa kekuranganmu; waktu lapang sebelum datang waktu sibukmu; hidupmu sebelum datangnya masa kematianmu.” (HR al-Baihaqi).

Selain itu, terdapat banyak lagi nas yang mendorong manusia untuk melakukan amal kebajikan. Antara lainnya ialah sebagaimana yang dituturkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah, seperti potongan malam yang gelap; seseorang menjadi Mukmin pada pagi hari tetapi kafir pada petang harinya, ia menjadi Mukmin pada petang harinya tetapi kafir pada pagi harinya; ia menjual agamanya demi meraih kecuali dunia.” (HR Muslim).

Antara lain mengapa Islam mengajar manusia agar bersegera melakukan amalan kebaikan kerana untuk mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah dan juga sebagai tanda menguji keimanan seseorang. Contohnya dalam hal solat, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Awal waktu solat itu menyebabkan reda Allah, sedang akhir waktu sebagai ampunan daripada Allah.” (HR al-Tirmizi).

Oleh itu, bersegeralah melakukan amal kebaikan seperti melakukan amal ibadat, sedekah, menjaga ikatan silaturrahim, bekerjasama, tolong-menolong dan bersegeralah menjauhi perkara-perkara yang membawa dosa seperti mencuri, minum arak, riba dan seumpamanya. Ingat, jangan terlambat untuk berubah kerana penyesalan di kemudian hari adalah penyesalan yang sia-sia.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *