Home » Wacana » Bersahabat dengan malaikat

Bersahabat dengan malaikat

Oleh AMIDA ABDULHAMID

Dr Amida Abdulhamid atau nama penanya Anis adalah seorang penulis dan penilai buku yang berpengalaman

Malaikat-malaikat yang dicipta dari nur ketuhanan Allah SWT tidak mengharapkan pelestarian hidup; pada makan minum dan berkeluarga, adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang taat dan setia berbakti kepada-Nya.  Malah, ada kalangan malaikat yang dicipta semata-semata untuk bertasbih kepada Allah SWT (surah al-A’raf: 206; surah Fussilat: 38; surah as-Saaffat: 166). Maka kalangan malaikat ini akan berterusan bertasbih kepada Allah SWT sepanjang waktu; tanpa sebarang bantahan, tanpa sebarang keresahan, tanpa sebarang kebosanan.

Sebaliknya, kita manusia yang dicipta-Nya dari tanah hitam yang kering dan berubah bau (surah al-Hijr: 26) diberi kebebasan untuk sama ada bersetia atau mengingkari pada suruhan Allah. Kita adalah agen kebebasan yang mengisbatkan kekuasaan Allah SWT.

Kehadiran fizikal dua makhluk ini amat berbeza, namun perbezaan fizikal itu tidak menghalang keakraban malaikat dengan manusia. Allah SWT mencipta sesuatu bukan secara sia-sia. Kewujudan malaikat punya peranan signifikan dalam kehidupan kerohanian (dan seterusnya mempengaruhi tindakan) manusia.

Kita tidak nampak malaikat tetapi kita dapat merasakan ‘dorongan’ malaikat untuk kita berbuat baik kepada jiran tetangga, berkasih sayang kepada haiwan dan berihsan kepada alam sekitar. Dorongan positif itu tercetus apabila manusia dapat menjalinkan persahabatan dengan malaikat.

Mungkin ini satu hal baru…bersahabat dengan malaikat? Subjek ini tidak diajar di sekolah, adakah mungkin fenomena ini sesuatu yang terlepas pandang? Apatah lagi isu ini amat pelik untuk difikirkan.

Langkah pertama yang wajar dilakukan untuk bersahabat dengan para malaikat ialah dengan meyakini sepenuh hati  (sepenuh-penuhnya) bahawa makhluk malaikat itu wujud – ada di kanan dan di kiri kita, ada di depan dan di belakang kita, dan malaikat itu berada di mana-mana sahaja mengawasi setiap yang maujud di atas perintah Allah SWT. Mengimani kewujudan malaikat tidak akan terhasil jika keimanan itu dilakukan secara dogmatik. Kita harus tanamkan dalam diri bahawa makhluk dari nur Allah ini sememangnya wujud dan berada amat rapat dengan dunia syahadah kita. Bahkan antara kita dan malaikat itu  dapat mewujudkan hubungan akrab antara dua dunia yang berbeza ini. Subhanallah.

Setelah mantap keyakinan itu, lebarkan pandangan kepada alam sekeliling, pada pokok, pada sungai, pada burung, pada cakerawala, dan tanamkan kepercayaan bahawa pada setiap makhluk itu ada malaikat yang menguruskan pertumbuhan dan kewujudannya (Surah At-Thariq: 4).

Maka itu apabila berseorangan di rumah, di kamar misalnya, perhatikan supaya ketrampilan diri sentiasa bersantun dan tidak mengaibkan. Bersopanlah walaupun kita berseorangan, kerana malaikat berada di sekeliling kita, memerhati dan mencatat dalam diam.

Iman itu menjadi kukuh apabila diyakini dalam hati (tasdiqun bil qalbi), diikrarkan dengan lisan (ikrarun bil lisan), dan diisbatkan dengan amalan/perbuatan (amalu bil arkhan).Tidak sahaja kita yakin kewujudan malaikat, tetapi kita rafakkan pada lafaz, dan kita mantapkan dengan amalan iaitu menjalinkan persahabatan dengan mereka.

Kita perlu membuat langkah pertama untuk menyantuni alam malaikat ini. Kita perlu tunjukkan bahawa kita sebenarnya meyakini kewujudan mereka. Lantaran itu kita hormati mereka dan bertindaklah untuk menjalinkan persahabatan akrab dengan mereka.

Pada setiap hari, dua malaikat akan turun kepada manusia. Satu malaikat akan mendoakan, “Ya Tuhanku, berilah kepada orang yang membelanjakan (hartanya) akan ganti (apa yang dibelanjakannya),” dan malaikat yang kedua pula akan berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah kepada orang yang bakhil itu kebinasaan.”

Setiap hari, malaikat menyeru kita untuk melaksanakan perlakuan mahmudah seperti bersedekah, sama ada kepada manusia, haiwan atau alam sekeliling. Bersedekah bukan sahaja dalam bentuk harta tetapi juga dalam bentuk tenaga dan nasihat. Kita tak perlu bakhil bersedekah wang ringgit, atau pun bersedekah kudrat dan idea, kerana semua yang disedekahkan itu akan mendapat balasan gantinya yang berlebihan daripada apa yang disedekahkannya.

Malaikat-malaikat yang bertugas di dunia kita sering menjalinkan hubungan dengan kita. Setiap kali kita berjalan ke masjid untuk solat dan beriktikaf,maka langkah kita sepanjang perjalanan ke masjid itu diiringi selawat malaikat, “Ya Allah, limpahkanlah selawat kepadanya, dan limpahilah dia dengan rahmat selagi dia tidak mengganggu di dalamnya dan selagi dia belum berhadas.” (HR: Muslim).

Ketika melaksanakan solat berjemaah, pastikan kita memberi perhatian total kepada bacaaan surah al-Fatihah oleh imam supaya dapat melafazkan ‘Aamiin’ bersama malaikat Ta’min apabila selesai imam menyampaikan surah berkenaan. Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT akan mengampuni segala kesalahan juga dosa kita yang lalu apabila pengucapan ‘Aamiin’ kita serentak dengan perucapan ‘Aamiin’ malaikat.

Hari Jumaat ialah penghulu segala hari manakala solat Jumaat menandakan kelebihannya. Rasulullah SAW bersabda, “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat, pada hari itu Adam AS diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang Mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.”  (HR Muslim).

Kedatangan para Muslimin bersolat Jumaat di masjid itu dicatat kehadiran oleh malaikat. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, “Jika tiba hari Jumaat, maka setiap pintu masjid terdapat para malaikat yang mencatat mereka yang paling awal datang untuk solat Jumaat. Apabila imam duduk, malaikat menutup suhuf dan bersedia mendengar zikir.” (HR Bukhari).

Para penuntut ilmu juga mendapat tempat yang tinggi di kalangan malaikat. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan at-Tarmizi dan  Ibn Hibban dan Hakim, “Tidak ada seorang yang keluar dari rumahnya kerana menuntut ilmu pengetahuan melainkan malaikat-malaikat merendahkan sayap untuknya kerana reda dengan apa yang dibuat.”

Ada ilmuan berpendapat ilmu pengetahuan yang dimaksudkan itu ialah apa juga bentuk ilmu, manakala ada yang berpendapat ilmu pengetahuan itu khusus kepada ilmu ketuhanan termasuk tauhid, syariat, akidah dan segala ilmu di jalan Allah. Apa jua kebaikan dari usaha mendapatkan ilmu ini disokong malaikat dengan memberi teduhan dan naungan mereka. Alangkah beruntungnya mereka yang senantiasa mencari ilmu.

Bagi kita yang berupaya berpuasa sunat Isnin dan Khamis, dan taat menjalani puasa wajib dalam bulan Ramadan, aktiviti bersahur yang kita lakukan setiap dinihari itu turut disaksikan oleh malaikat. Ibnu Hibban dan at-Tabrani dalam Mu’jamnya al-Ausath, meriwayatkan sabda Nabi SAW dari Ibnu ‘Umar RA seperti berikut, “Maka sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat (menurunkan rahmat, berkat dan keampunan-Nya) kepada orang yang bersahur. Maka itu seeloknya sahur itu diambil peduli dan diberi pemberatan, walaupun hanya dengan seteguk air atau dengan sebiji tamar. Seteguk air dan sebiji tamar itu bernilai rahmat, berkat dan keampunan dari Allah SWT selain sahur itu diiringi selawat para malaikat.”

Malaikat-malaikat mendampingi kita pada waktu jaga. Bagaimana pula pada waktu kita tidur? Sayidina Umar RA menyampaikan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka di sekujur tubuhnya bersemayam malaikat. Dia tidak akan terbangun sedikit pun kecuali malaikat itu mengucapkan ‘Ya Allah, kurniakan keampunan bagi hambamu ini, sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci…” (Ibnu Hibban dan disebut al-Mundziri dalam at -Taghrib wat Tarhib).

Apabila kita tidur dalam keadaan berwuduk dan ini bermakna badan kita suci, malaikat akan mendampingi kita sepanjang kita terlena itu. Malah malaikat itu akan memohon supaya Allah mengampunkan kita yang sedang tidur itu. Tidakkah kita akan berasa bahagia bahawa tidur (dalam keadaan mati) kita ditemani malaikat yang dicipta dari nur Allah?

Maka itu sama ada dalam jaga atau dalam tidur, mari kita jalinkan persahabatan dengan para malaikat dari dunia ghaib ini. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *