Home » Analitis » Berlapang dada rai perbezaan

Berlapang dada rai perbezaan

sumber

Ramai yang berasa lega apabila episod ‘perbalahan’ dua tokoh agama terkemuka akhirnya selesai tatkala keduanya bertemu dan akhirnya berkongsi pentas dakwah malam tadi secara bersama.

Tanggungjawab penulis selaku seorang Islam dan sahabat untuk mempertemukan kedua-dua tokoh ini tidaklah sukar kerana mereka adalah contoh manusia berjiwa besar yang bersedia mengakui kelemahan dan bertolak ansur dengan membuang ke tepi ego masing-masing dengan bersemuka demi meleraikan segala kekusutan dan salah faham yang ada.

Sememangnya banyak masalah boleh selesai apabila kita bertemu dan bersemuka. Yang penting mesti berjiwa besar, tidak ego, bersedia memaafkan dan saling bertolak ansur antara satu sama lain.

Sesungguhnya tiada siapa yang sempurna atas muka bumi ALLAH ini. Selagi kita bernama manusia tentu sahaja berkecenderungan untuk melakukan kesalahan dan kesilapan. Sebagaimana sebuah Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, al-Hakim dan al-Baihaqi: “Setiap anak Adam itu (tidak dapat lari) dari melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”.

Begitu juga dengan kata-kata Arab yang masyhur:

“Bagi setiap kuda (yang hebat) itu, pasti ada tergelincirnya, dan bagi setiap orang alim itu, pasti ada tersalahnya”

Cuma penulis juga berharap agar penyokong dan pengikut tegar kedua-dua tokoh ini juga mestilah berlapang dada dan bersedia meraikan perbezaan pendapat.

Hakikat yang harus difahami perbezaan pendapat adalah satu fenomena semula jadi yang bersifat tabii. Wujudnya pelbagai aliran pemikiran hingga berlakunya perbezaan pandangan juga merupakan satu manifestasi kekayaan akal manusiawi yang harus ditanggapi secara positif sebagai satu wahana memperlengkapkan antara satu sama lain.

Ini turut diperakui dalam al-Quran: Jika Tuhanmu mengkehendaki nescaya tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat (Hud:118).

Apa yang pasti Islam tidak pernah menghalang perbezaan pandangan. Islam juga tidak sekali-kali menyekat kepelbagaian aliran pemikiran. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan ALLAH untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara berpandukan ilmu dan fakta sahih.

Bagi penulis isu yang lebih mendasar bukannya untuk mencari formula menyatukan pemikiran seluruh manusia. Apa yang lebih utama ialah bagaimana merungkai pendekatan terbaik untuk mengurus perbezaan pandangan yang pasti wujud dalam kehidupan manusiawi.

Dalam konteks inilah Islam jelas menggariskan prinsip-prinsip penting yang harus dipegang dan didukung oleh setiap individu terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat. Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub kepada pandangan sendiri, berlapang-dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Contoh perselisihan terbaik ditunjukkan dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab, iaitu dalam isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat.

Umar mengkritik pandangan Abu Bakar selaku Khalifah yang bersiap untuk memerangi kelompok yang ingkar membayar zakat. Kedua-duanya mempunyai hujah kukuh berasaskan nas dan hadis Nabi SAW. Namun kerana menghormati Abu Bakar sebagai pemimpin tertinggi kerajaan maka Umar tetap patuh pada arahan Abu Bakar walaupun masih kuat berpegang pada pendiriannya.

Begitulah hebatnya akhlak dua sahabat paling mulia di sisi Nabi. Walaupun pelbagai perbezaan yang tercetus di antara mereka, namun sekali-kali tidak melunturkan walau sedikit pun rasa hormat dan kasih sayang  di antara keduanya. Malah Abu Bakar r.a tetap memilih Umar penggantinya sebagai khalifah walaupun beliau antara yang paling kritikal semasa pentadbirannya.

Demikianlah, umat harus dididik agar sentiasa berlapang dada dan bersedia untuk menegur dan ditegur. Yang menegur harus tahu cara terbaik untuk menyatakan pandangan tanpa mencetuskan riak-riak permusuhan, persengketaan mahupun kekacauan.

Manakala yang ditegur tidak harus rasa gelisah kerana itu juga adalah sebahagian proses pemantapan dan pembaikan demi kesejahteraan semua.

Bukankah ALLAH sendiri pernah berpesan: “Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi ALLAH petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang berakal. (Az-Zumar:19)

Justeru sudah tiba masanya untuk dilakukan penjernihan sikap terhadap budaya perbezaan pendapat yang ada. Nilai-nilai kasih-sayang, hormat-menghormati, toleransi, berlapang dada, tidak taasub atau fanatik kepada pendirian sendiri mesti dipasakkan dalam diri setiap individu agar mampu mengurus perselisihan yang melanda.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *