Home » Wacana » Berjalan di atas bara api

Berjalan di atas bara api

Siapa tidak terpukau jika ditawarkan dengan kebolehan berjalan di atas bara api, ditetak dengan parang atau mandi minyak panas tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal. Namun, adakah fenomena kebal benar-benar wujud dalam ajaran Islam atau hanya mainan syaitan? Jika benar ia daripada Islam, mengapa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak terlepas daripada tercedera malah ada yang terkorban dalam perjuangan menyebarkan dakwah Islam?

Pada hakikatnya soal kekebalan dari segi fizikal sebenarnya tidak pernah tercatat atau disebut dalam sejarah tamadun Islam. Ini kerana ketahanan diri yang sering dipromosikan oleh Islam lebih kepada ketahanan jiwa dan keteguhan iman setiap penganutnya.

Andainya benar dakwaan mengatakan bahawa ajaran Islam itu mengandungi unsur-unsur yang boleh menjadikan seseorang itu kebal, Nabi SAW adalah orang yang paling layak dan utama untuk mengajar ilmu itu kepada para sahabat dan umatnya.

Ini berdasarkan kepada hakikat bahawa Baginda adalah orang yang paling dekat dengan kandungan al-Quran yang diterimanya secara terus daripada Jibril. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Ilmu sebegini tidak pernah disampaikan oleh Baginda. Ilmu kebal tidak pernah dibahaskan oleh alim ulama muktabar Islam.

Dalam sejarah peperangan umat Islam, tentera Islam dengan jumlah yang sedikit tidak sekali-kali bergantung kepada kekebalan walaupun berhadapan dengan bilangan musyrikin yang berlipat kali ganda.Sebaliknya, kumpulan minoriti Muslimin ini bersandar kepada kekuatan yang berasaskan iman dan takwa yang kukuh untuk memenangi sesuatu perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Dalam konteks ini, isu kebal atau sebaliknya tidak timbul kerana jika ia benar-benar ada, maka sepuluh orang Islam sudah cukup untuk menewaskan beribu-ribu orang musuh Islam yang diperangi.

Tambahan lagi, jika dilihat daripada aspek cita-cita seorang Muslim untuk memperoleh mati syahid dalam peperangan pada jalan Allah (fi sabilillah), hasrat itu tidak akan tercapai sekiranya ilmu kebal benar-benar wujud. Malah ia akan turut mendorong manusia untuk melupakan hakikat kematian, seolah-olah dia ingin kekal selama-lamanya di dunia.

Bagaimanapun tentu akan ada yang bertanya tentang ‘kekebalan’ Nabi Ibrahim yang tidak hangus dibakar api oleh Raja Namrud. Dalam konteks ini apa yang berlaku dalam kejadian ini ialah Allah SWT telah menafikan fungsi api yang sepatutnya bersifat membakar itu. Mengikut hukum sebab dan akibat, api boleh membakar tetapi dalam kes ini, dengan kekuasaan dan perintah Allah ia menjadi sejuk.

Sebenarnya pertunjukan melibatkan aktiviti luar biasa yang sering dipertontonkan kepada khalayak ramai mempunyai unsur-unsur penipuan seperti penggunaan sihir, jampi-serapah malah penggunaan jin dan syaitan. Kejadian seperti ini tiada kaitannya dengan sepotong dua ayat al-Quran yang boleh dibaca bagi mendapatkan kekebalan. Setiap perkara yang kelihatan bercanggah dengan sunah yang biasa itu adalah satu perbuatan khurafat yang tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam.

Justeru, ulama Islam sejak berzaman memberi penekanan kepada pengajaran ilmu tauhid dan pegangan agama yang kukuh bagi menghapuskan kepercayaan karut seperti ini. Dalam pada itu, tindakan sesetengah orang membandingkan ilmu kebal dengan mukjizat Nabi Ibrahim yang terselamat daripada api sebenarnya tidak dapat diterima. Ini kerana mukjizat iaitu kebolehan luar biasa yang dikurniakan kepada para Nabi adalah bagi membuktikan kebenaran ajaran yang dibawa kepada pengikutnya. Perkara mukjizat ini tidak ada pada orang lain dan tidak sepatutnya diukur dengan kejadian-kejadian yang berlaku ke atas manusia biasa.

Adalah tidak wajar tindakan sesetengah pihak yang dengan mudah mempercayai bahawa amalan ayat-ayat tertentu dari al-Quran mampu menjadikan mereka kebal. Amalan sebegitu boleh menjerumuskan pengamalnya ke dalam angkara takabur. Malah, sifat bergantung kepada kuasa lain selain Allah bagi melakukan sesuatu yang di luar adat kebiasaan manusia dikhuatiri boleh menjadikan seseorang itu terlibat dengan dosa yang lebih besar iaitu syirik.

Sesungguhnya, fenomena mempercayai ilmu kebal di kalangan orang Islam telah berlaku sejak sekian lama tanpa ada yang memikirkan kesan baik buruknya, khususnya kepada akidah. Sejarah perjuangan Rasulullah dan para sahabat menjadi bukti bahawa ilmu kebal sebenarnya tidak pernah ada dalam kamus agama Islam.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *