Home » Langit Terbuka » ‘Berita palsu gerakan terancang’

‘Berita palsu gerakan terancang’

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Gerakan terancang dengan menyuntik kebencian dan cubaan mencetuskan rusuhan menerusi media sosial dikesan semakin menular di seluruh dunia.

Agenda berniat jahat yang dipercayai didalangi kumpulan tertentu itu, sekali gus menuntut usaha kerajaan Malaysia menggubal akta menangani berita palsu secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika mendedahkan perkara itu berkata Malaysia merangkumi rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama.

Sehubungan itu, katanya, setiap penyebaran berita palsu di media sosial mempunyai kesan mendalam kepada struktur sosial di negara ini yang sentiasa sensitif terhadap ancaman berbentuk provokasi.

“Kita bimbang ada orang ambil kesempatan nak menggugat kestabilan Malaysia kerana negara ini merangkumi masyarakat majmuk, justeru setiap percakapan perlu berjaga-jaga dan sensitif.

“Apabila kita lihat teknologi sekarang, ia adalah dunia tanpa sempadan yang memerlukan peruntukan undang-undang baharu untuk menangani pelbagai ancaman di media sosial.

“Sesetengah gangguan daripada individu nakal itu satu hal, tapi ancaman terbesar kita adalah di serata dunia ketika ini berdepan gerakan untuk menyuntik kebencian dan rusuhan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Azalina yang mewakili Malaysia menandatangani Perjanjian Tambahan dengan Setiausaha Agung Organisasi Penasihat Perundangan Asia-Afrika (AALCO), Prof Dr Kennedy Gastron, di Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), di sini.

Perjanjian itu dimeterai bagi menjenamakan semula KLRCA yang kini dikenali sebagai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia, selaras penggubalan Akta Timbang Tara (Pindaan) 2018 di Parlimen baru-baru ini.

Yang turut hadir, Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat AIAC, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan Pengarahnya, Prof Datuk Sundra Rajoo.

Azalina berkata, mesyuarat teknikal jawatankuasa khas bagi menggubal akta menangani berita palsu yang berlangsung kali kedua, hari ini menyaksikan beberapa input daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tanpa memperincikan butiran lanjut mengenai input teknikal, Azalina berkata, hasil perbincangan jawatankuasa itu akan dibawa ke Kabinet untuk penelitian Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.

“Saya tidak boleh dedahkan perincian perbincangan aspek teknikal yang turut dihadiri oleh AGC, namun kita akan cuba bawa perkara ini (rangka perundangan berita palsu) ini kepada Kabinet secepat mungkin,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *