Home » Langit Terbuka » Berhati-hati dalam berdakwah, elak kongsi ilmu tidak menepati syariat

Berhati-hati dalam berdakwah, elak kongsi ilmu tidak menepati syariat

Gambar hiasan. – Bernama

Pendakwah di Malaysia dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menyampaikan dakwah walaupun mereka ikhlas dalam memperjuangkan Islam, kata Felow Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Yang Dilantik Majlis Raja-Raja berkata hasutan untuk melawan Raja-Raja Melayu, Ulul Amri, pemerintah atau pemimpin di Malaysia serta menghasut untuk mati syahid melawan orang Islam adalah hasutan yang membuka pintu takfir di bumi Malaysia ini.

“Ia boleh mengakibatkan berlakunya tragedi seperti yang pernah tercetus di Ulu Tiram, Al-Ma’unah di Sauk dan peristiwa Memali.

“Pegangan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan tegas menolak amalan kafir mengkafir sesama orang Islam,” katanya.

Afifi turut memetik peringatan Imam Al-Ghazali berhubung tersalah “mengkafirkan seorang Muslim adalah lebih berat dari tersalah menganggap Islam seribu orang kafir.”

“Ingatlah pesanan Imam Al-Nawawi: Semua orang yang di jalan benar memang sudah ikhlas, tetapi bukan semua yang ikhlas berada di jalan yang benar,” tambah beliau.

Sementara itu, Afifi berkata di dalam berdakwah janganlah sampai ada unsur jihad yang tidak menepati syariat pada sesama Muslim di Malaysia ini.

Beliau berkata bahkan hasutan itu boleh membawa kepada pendakwaan di bawah undang-undang isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dan jenayah takfir.

Untuk rekod, semenjak tahun 2010 hingga kini, Afifi dinobatkan dalam senarai tahunan 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia.

Afifi mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai pensyarah di universiti termasyhur di dunia.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil sebelum ini turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terjerumus dengan pemikiran khawarij.

Azam berkata sebaliknya hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari segi akidah, syariah dan akhlak. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *