Home » Langit Terbuka » Berdakwah beri ketenangan

Berdakwah beri ketenangan

Penyanyi berusia 50 tahun itu berkata menerusi dakwah mengenai ajaran yang dibawa oleh Islam telah memberikan ketenangan serta nilai dalam kehidupannya. - Foto Awani

NEW DELHI – Mohd Ali Ismail, atau Ali, bekas vokalis kumpulan XPDC meninggalkan kehidupan muzik rock yang penuh glamour untuk menjalani kehidupan yang boleh membantu beliau memahami erti kewujudan dirinya.

Vokalis terkenal itu kini memiliki pandangan hidup berbeza dan sentiasa kagum dengan nilai-nilai yang terdapat dalam ajaran Islam.

Ali bercakap kepada Bernama di majlis berbuka puasa di New Delhi baru-baru ini mengenai perubahan hidup serta usaha dakwahnya.

Beliau tidak kekok berkongsi makanan dengan lebih 100 orang yang kebanyakannya rakyat Malaysia, memberikan ceramah Ramadan serta beraksi apabila diminta bergambar.

Ditanya mengenai perubahan diri beliau, penyanyi berusia 50 tahun itu berkata menerusi dakwah mengenai ajaran yang dibawa oleh Islam telah memberikan ketenangan serta nilai dalam kehidupannya.

“Hidup saya menjadi lebih mudah, ada tumpuan dan saya berasa lebih tenang. Menyeru orang lain untuk mengenali agama Islam membuatkan saya berasa bahawa saya telah memenuhi kewajipan saya,” katanya.

Adakah beliau berasa kehilangan apa-apa yang dinikmatinya ketika bergelar bintang muzik popular?

“Saya tidak pernah berasa kehilangan apa-apa. Ia harus menjadi matlamat kita sebagai umat Islam untuk menyebarkan keamanan, persaudaraan dan keharmonian dalam masyarakat. Saya melakukannya menerusi dakwah. Kejayaan sebenar dalam hidup datangnya selepas menjalankan perintah Allah dan menjauhi apa yang dilarang,” kata Ali.

“Tidak kisahlah apa status kuasa atau jawatan kita, semuanya tidak berguna jika kita tidak hidup mengikut lunas-lunas Islam. Saya berpegang teguh kepada ungkapan ‘Dunia Sementara, Akhirat Selamanya,” katanya.

Ceramah Ramadan Ali diiringi nyanyian berunsur keagamaan, yang turut membuktikan bahawa kemahiran vokalnya tetap utuh.

Peminat setia beliau menyambut kehadirannya dengan tepukan gemuruh namun Ali lebih suka jika mereka menyertainya dalam melakukan usaha dakwah seperti yang dilakukannya pada masa ini.

“Saya mahu mereka mendengar mesej dakwah yang ingin saya sampaikan,” katanya.

Empat lagi anggota kumpulan rock XPDC yang popular di Malaysia pada tahun 1990-an turut menyertai Ali berdakwah.

Ali sebelum ini pernah dikaitkan dengan sebuah lagi kumpulan rock yang dikenali sebagai Terra Rossa.

Ali berkata apa yang dilakukannya sekarang bukanlah hanya memberikan ceramah kepada orang lain sebaliknya berkongsi apa yang beliau tahu dan pada masa yang sama, belajar daripada ilmu orang lain.

Semangat ini telah membawa Ali ke India dan beliau berminat untuk mendalami Islam dengan bertemu orang yang berbeza.

“Apa jua kerja yang kita lakukan, adalah penting untuk mengingatkan diri kita bahawa kehidupan di dunia adalah sementara.

“Kita perlu mengikuti ajaran Islam dengan menyeru orang lain ke arah kebaikan dan mempelajari sunnah (cara Nabi Muhammad),” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *