Home » Langit Terbuka » Bercerai Angkara WhatsApp

Bercerai Angkara WhatsApp

Ghazali (kanan) berkata sesuatu kepada Ibrahim (tengah) ketika menziarahi bekas wartawan sambilan itu semalam. - Foto Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Empat atau lima kes daripada 10 permohonan cerai sehari yang difailkan pasangan suami isteri di negeri ini adalah disebabkan media sosial termasuk WhatsApp yang digunakan secara tidak bertanggungjawab.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas- Tugas Khas negeri, Ghazali Taib yang meminta orang ramai agar tidak bergurau melampau dengan rakan- rakan yang sudah berkahwin melalui media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

Menurutnya, perbuatan itu boleh mengundang fitnah, syak wasangka lalu tercetus perbalahan dan akhirnya berlaku penceraian.

Beliau berkata, antara yang dikesan adalah sikap tidak baik individu menghantar gambar-gambar lama kepada rakan-rakan menyebabkan timbul syak wasangka suami atau isteri lalu hubungan antara pasangan menjadi tidak baik.

“Ia akan mencetuskan perbalahan terutama bagi pasangan muda yang tahap cemburunya tinggi dan akhirnya berlaku penceraian.

“Padahal bila sudah bercerai, ternyata WhatsApp yang dihantar oleh rakan-rakan itu adalah palsu dengan tujuan awalnya untuk bergurau namun dipandang serius oleh pasangan suami isteri berkenaan,” katanya.

“Oleh itu, rakyat tidak kira tua atau muda, pasangan baru kahwin atau lama, jangan cuba bergurau dengan WhatsApp sama ada dengan gambar atau kata-kata yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya.  

Beliau yang juga Adun Ajil berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi bekas wartawan sambilan Bernama, Ibrahim Abu Bakar di rumahnya di Kampung Ladang, di sini semalam menerusi Program Ziarah Kasih anjuran Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat).

Ibrahim, 74, yang lebih dikenali sebagai Pok Him di kalangan rakan media menghidap sakit jantung dan buah pinggang.

Beliau memulakan karier sebagai wartawan sambilan dengan Bernama Biro Terengganu pada 1973.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, beliau meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menambah baik modul kursus perkahwinan sedia ada dengan memasukkan subjek bahaya dan ancaman media sosial dalam perkahwinan sebagai ilmu baharu kepada bakal pengantin.

Ia katanya seiring dengan perkembangan dunia teknologi yang turut memberi impak kepada institusi kekeluargaan hari ini.

“Kita mahu beri peringatan kepada pasangan agar periksa betul-betul kandungan WhatsApp yang dihantar atau terima kerana bimbang ada unsur-unsur pengkhianatan kepada pasangan sebab kita tidak tahu mungkin perkahwinan itu dicemburui atau tidak direstui,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penggunaan media sosial secara meluas turut menjadi pencetus kecurangan sehingga mendorong pasangan suami isteri membuat permohonan untuk bercerai di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, secara purata, 10 permohonan penceraian direkodkan di seluruh Terengganu dalam masa sehari membabitkan pasangan berumur lingkungan 30-an hingga 50-an. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *