Kenyataan Berhubung Isu Berbuka Puasa di Gurdwara Sahib
Isu berbuka puasa di Gurdwara Sahib yang merupakan tempat ibadat penganut agama Sikh di Johor menjadi polemik dalam negara ini. Ramai yang mengecam dan ada juga mufti yang telah memberikan pandangan.
Tulisan ini bukanlah mahu menyanggahi mufti tetapi sekadar ingin membicarakan isu ini secara ilmiah luar dari kerangka politik kepartian.
Perbahasan isu ini perlu dilihat dari 2 aspek utama. Berikut perinciannya:
1. Hukum masuk ke tempat ibadat orang bukan Islam
2. Hukum menerima pemberian orang bukan Islam.
Setelah dijawab 2 isu barulah kita akan jelas apakah hukum berbuka puasa di tempat ibadat tersebut.
Isu pertama: Hukum masuk ke tempat ibadat orang bukan Islam
Ulama Islam berbeza pendapat terhadap isu ini.
i. Mazhab Hanafi berpandangan makruh tahrim masuk ke dalam tempat ibadat orang bukan Islam. (Lihat: Hasyiah Radd al-Muhtar, jld. 5, hlm. 248, al-Bahr al-Raiq, jld. 8, hlm. 232)
ii. Mazhab Maliki, Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Syafie berpandangan harus bagi orang Islam untuk masuk ke dalam tempat ibadat orang bukan Islam selagi mana diizinkan oleh mereka dan tidak terlibat dalam upacara kufur mereka. (Lihat: Jawahir al-Iklil, jld. 1, hlm. 383, al-Insaf, jld. 1, hlm. 349)
iii. Mazhab Syafie pula berpandangan harus masuk ke tempat ibadat orang bukan Islam jika diizinkan oleh mereka dan selagi mana tidak terdapat patung berhala. (Lihat: Hasyiah Qalyubi, jld. 4, hal. 235)
iv. Sebahagian ulama mazhab Maliki dan sebahagian ulama mazhab Hanbali mengatakan makruh bagi Muslim masuk ke dalam tempat ibadat orang bukan Islam. (Lihat: Al-Mudawwanah Al-Kubra, jld. 1, hlm. 182, Al-Insaf, jld. 3, Hlm. 313)
Penulis pula cenderung kepada pendapat yang membenarkan orang Muslim untuk masuk ke dalam tempat ibadat orang bukan Islam kerana sebab berikut:
1. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah masuk ke gereja di Habsyah dan menceritakan keindahan di dalamnya. Penceritaan terperinci begini tidak akan berlaku tanpa masuk ke dalamnya. Manakala pengingkaran Nabi SAW bukanlah terhadap perbuatan mereka masuk ke gereja namun terhadap sikap orang Ahli Kitab yang menjadikan kubur nabi mereka sebagai tempat ibadat.
2. Umar bin al-Khattab meletakkan syarat kepada orang Nasrani agar tidak menghalang orang Islam dari memasuki gereja mereka. Ibn al-Qayyim memberikan komentar terhadap syarat Umar ini:
“Kemasyhuran syarat-syarat ini menjadikan kita tidak perlu kepada sanadnya. Sesungguhnya ulama menerimanya, menyebutkannya dalam kitab mereka, berhujah dengannya, sebutan syarat-syarat Umar ini sentiasa di lidah mereka dan kitab mereka dan ia diamalkan oleh Khulafa’ selepas Umar dan mereka beramal dengan kandungannya”. (Lihat: Ahkam Ahli al-Zimmah, jld. 3, hlm. 164)
3. Tidak ada nas yang jelas bagi mazhab yang melarangnya.
4. Umar bin al-Khattab mengizinkan Ali bin Abi Talib dan orang Muslimin untuk memenuhi jemputan makan Nasrani Syam di gereja mereka. (Lihat: al-Syarh al-Kabir, jld. 8, hlm. 115)
Mungkin atas pandangan ini jugalah penulis melihat beberapa ulama Mesir antaranya Syeikh Ali Jumu’ah (mantan Mufti Mesir) menghadiri iftar anjuran gereja di sana.
Isu kedua: Hukum menerima pemberian atau hadiah orang bukan Islam.
Ulama muslimin bersepakat mengatakan boleh menerima pemberian orang bukan Islam selagi mana ia adalah harta yang halal.
Ini kerana Nabi SAW sendiri pernah menerima pemberian wanita Yahudi dan pemberian maharaja bukan Islam seperti maharaja Ailah dan Muqauqis.
Setelah melihat pandangan-pandangan ulama dalam isu ini jelas bahawa tiada kesepakatan dalam isu ini. Maka sebagai Muslim seharusnya:
1. Menghormati mereka yang memegang pendapat yang berbeza kerana isu ini bukan isu ijmak.
2. Masing-masing mempunyai kecenderungan dan alasan untuk memilih salah 1 dari pandangan ini.
3. Penulis difahamkan majlis iftar YB Johor tersebut bukan di dalam tempat ibadat Sikh tetapi di dewan dalam perkarangan sahaja.
Walaupun penulis cenderung kepada pandangan yang membenarkan namun ia mestilah mengikut syarat-syarat berikut:
1. Tidak hadir sewaktu upacara keagamaan mereka sedang berlangsung.
2. Tidak mengambil bahagian dalam upacara kufur mereka.
3. Tidak terdapat perkara haram lain di dalam majlis tersebut.
4. Tidak menjadikan ia sebagai adat kebiasaan.
Inilah serba sedikit yang boleh dibincangkan mengenai isu ini. Moga iman dan ilmu sentiasa memandu kita semua.
Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (NUIM-YADIM)
KOMEN