Memegang gelaran seorang ibu memang suatu pengalaman yang mengujakan. Merasai proses kehamilan yang penuh menduga dan menyeronokkan. Melihat sendiri anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari selamat dilahirkan. Kemudian melalui pula proses membesarkan si kecil dari sebesar tapak tangan hingga sudah mampu bertatih dan berkata-kata seterusnya membesar menjadi anak yang menyejukkan hati.
Ibu, mama, emak, mama, ummi…semua itu gelaran buat insan yang telah menyerahkan seluruh jiwa dan raga mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun, masih ramai lagi yang belum dianugerahkan cahaya mata. Kenapa? Kita sebagai hamba Allah tidak mampu menjawabnya kerana semua yang terjadi kepada seluruh kehidupan di dunia ini telah diatur dan direncana dengan cantik oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah (pula). Tempoh mengandung sampai tempoh menceraikan susunya ialah selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa…”
Para wanita yang masih belum bergelar ibu, rasa dukacita itu memang tidak dapat dielak apatah lagi apabila melihat kaum keluarga yang mungkin mendirikan rumahtangga kemudian daripadanya tetapi cepat dikhabarkan akan menerima cahaya mata.
Usah bersedih kerana Allah SWT Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Renung-renungkan apakah punca anugerah terindah itu masih belum hadir dalam hidup kita? Wang ringgit dan kelengkapan fizikal mungkin sudah mencukupi tetapi bagaimana pula dengan persediaan mental?
Usah hiraukan juga mereka yang sibuk bertanya mengapa dan kenapa kita belum dikurniakan anak walaupun sudah bertahun-tahun berkahwin? Siapa mereka untuk menyangkal ketentuan Allah. Bukan semua orang melalui jalan kehidupan yang sama. Ketidaksamaan itulah yang mewarnai hidup hamba Allah.
Cuba renungkan, mungkin kerana kita masih belum bersedia menjadi ibu walaupun secara zahirnya kita merasakan yang kita sudah pun bersedia. Menjadi ibu bukannya mudah. Cabaran bermula apabila kita disahkan hamil, kemudian membawa kandungan selama 9 bulan 10 hari. Belum lagi dengan mabuk dan alahan yang bermacam-macam. Ujian sewaktu mahu melahirkan pula berbeza-beza bagi setiap bakal ibu. Ada yang mudah melahirkan dan ramai juga yang menghadapi waktu berjam-jam untuk melahirkan seorang khalifah.
Pernyataan ini bukan satu keluhan. Namun, hakikat yang dihadapi oleh para ibu adalah perkara-perkara rutin yang perlu dilalui dengan penuh rasa tanggungjawab selain rasa kasih kepada darah daging sendiri. Selain daripada tidak mempunyai waktu tidur yang mencukupi, para ibu perlu memberi sepenuh perhatian dalam tumbesaran anak-anak. Makan pakai mereka. Sakit pening mereka. Keperluan harian mereka. Dan yang paling penting adalah perhatian, didikan agama dan kasih sayang yang tidak pernah berhenti.
Belum lagi dikira dengan waktu-waktu yang mengundang emosi marah dan tertekan. Sebagai manusia normal, marah dan tertekan itu adalah normal dalam menjalani kehidupan. Cuma cara bagaimana emosi itu diurus yang akan memperlihatkan kesannya sama ada negatif atau positif.
Berbahagialah wahai para wanita yang belum memiliki zuriat. Allah adalah sebaik-baik perancang. Jangan kerana kita masih belum menerima nikmat itu, kita dirundung rasa sedih yang tidak berpenghujung. Allah ada untuk kita bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Bermunajatlah kepada-Nya. Menjadi wanita yang paling bahagia bukan dengan hanya memiliki zuriat. Lebih daripada itu, mungkin Allah mahu kita menabur budi yang berterusan kepada imam kita iaitu suami yang telah menerima kita sebagai pasangan kekasihnya untuk mengemudi bahtera rumahtangga tatkala suka mahupun duka.
Editor.
KOMEN