Home » Langit Terbuka » Bendera hijau tidak mewakili sebarang parti

Bendera hijau tidak mewakili sebarang parti

Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor. foto BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, menafikan dakwaan kononnya ada anggota polis trafik yang membawa bendera berwarna hijau sebuah parti politik semasa mengiringi satu konvoi perlumbaan basikal.

Perkara itu dikesan berdasarkan rakaman video dan gambar yang viral dalam laman sosial sejak minggu lalu, menunjukkan seorang anggota polis trafik bermotosikal kononnya membawa bendera sebuah parti politik.

Ia dipercayai disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dalam keadaan negara akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah JSPT Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata bendera berkenaan adalah bendera berlogo pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia adalah kedudukan petugas bagi sesebuah konvoi perlumbaan basikal atau mana-mana konvoi kenderaan yang membabitkan jumlah kenderaan yang banyak.

“Kedudukannya di bahagian belakang sekali selepas permulaan konvoi didahului dengan bendera merah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, tujuannya adalah untuk memberi isyarat kepada petugas lain seperti jarak konvoi di hadapan dan di belakang.

“Jarak antara bendera merah sehingga bendera hijau adalah sebagai petunjuk zon selamat yang dikawal oleh petugas atau anggota terbabit,” katanya.

Sharul berkata bendera hijau juga adalah penanda terakhir pergerakan konvoi berkenaan dan selepas itu segala pergerakan lalu-lintas adalah di bawah kawalan pengguna jalan raya itu sendiri. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *