Home » Langit Terbuka » Belia perlu jadi pendesak, pengimbang dasar dan keputusan kerajaan

Belia perlu jadi pendesak, pengimbang dasar dan keputusan kerajaan

Peranan pemimpin belia sebagai mekanisme semak-imbang tidak terhad kepada perkara berkaitan belia sahaja, kata Timbalan Perdana Menteri

 

BANGI – Pemimpin belia perlu menjadi kumpulan pendesak yang berperanan mengimbang dasar dan keputusan dibuat kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata peranan pemimpin belia sebagai mekanisme semak-imbang tidak terhad kepada perkara berkaitan belia sahaja sebaliknya mencakupi semua agenda reformasi kerajaan berkaitan kepentingan rakyat.

Di era Malaysia baharu, Dr Wan Azizah berkata pemimpin belia bebas mengkritik dan memberikan idea yang konstruktif kepada kerajaan selagi menjaga adab keagamaan dan tatsusila ketimuran yang tinggi.

“Zaman ‘culture of fear’ sudah berlalu, pemimpin belia kini bebas mengkritik, memberikan idea yang membina kepada kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Tujuh Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini. Hadir sama Presiden MBM Mu’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian tentang hasrat kerajaan yang ingin melihat MBM memainkan peranan melahirkan kepimpinan yang berkaliber untuk negara, iaitu teras utama pertubuhan itu sejak ditubuhkan pada 1948.

Beliau mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk meyakinkan belia masa kini untuk menyertai pertubuhan belia berbanding era 70 hingga 90-an yang kebanyakan mereka melibatkan diri secara sukarela.

Katanya belia masa kini mempunyai minat dan kehendak yang pelbagai, malah sering mempersoalkan tentang faedah yang mereka peroleh jika melibatkan diri dalam pertubuhan.

“Tetapi 45.8 peratus daripada 30.26 juta penduduk Malaysia adalah golongan belia, satu angka yang menggambarkan peranan besar yang boleh dimainkan golongan itu kepada negara.

“Sejarah juga membuktikan generasi muda telah memainkan peranan penting sejak sebelum hingga selepas merdeka…sebab itu saya mahu MBM terus menjadi jambatan antara belia dan kerajaan atas prinsip rakan pembangunan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meluahkan hasrat untuk melihat golongan wanita diberi lebih peranan dalam persatuan belia.

Memberikan komposisi wanita dalam barisan pimpinan MBM sebagai contoh, beliau berkata hanya tiga wanita iaitu seorang naib presiden dan dua anggota jawatankuasa terlibat daripada 28 orang kepimpinan tertinggi dan ia jauh daripada sasaran kerajaan yang mahu melihat sekurang-kurangnya 30 peratus golongan itu berada di peringkat kepimpinan.

Beliau menyarankan pemilihan persatuan belia bagi sesi akan datang mengambil kira aspirasi kerajaan dengan tidak melihat 30 peratus itu sebagai kuota, sebaliknya berupa sasaran yang perlu diikuti. – Bernama

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *