PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM menyambut baik Belanjawan 2020 yang dilihat sebagai belanjawan yang seimbang dan berkebajikan untuk rakyat. Antara inisiatif yang akan memberi keuntungan kepada wanita dan keluarga adalah:
Cuti Bersalin 90 Hari
Cuti ini akan dilaksanakan bermula 2021. Ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan selaras dengan apa yang telah dilaksanakan di negara lain termasuk jiran kita negara Asean. Singapura, memperuntukkan 112 hari cuti bersalin manakala Thailand, Kemboja, Indonesia dan Filipina menetapkan 90 hari.
Penguatkuasaan ini akan membabitkan pindaan Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta juga menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.
Manfaat terbesar yang akan diperolehi daripada langkah ini adalah kepada ibu dan anak yang dilahirkan sekaligus meningkatkan kesejahteraan keluarga. Seseorang wanita yang baru bersalin amat memerlukan masa yang mencukupi untuk memulihkan kesihatan mereka di samping menjalin hubungan kasih sayang dengan anak yang baru lahir.
Selain itu masa ini amat diperlukan untuk penyusuan ibu sepenuhnya, membina perkembangan emosi, sosial dan mental bagi kedua-dua ibu dan anak.
Ini selaras dengan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan bayi perlu diberi perhatian dan penjagaan rapi dalam tempoh 100 hingga 200 hari selepas dilahirkan. Kepentingan penyusuan susu ibu untuk kesihatan ibu dan anak sudah diketahui umum dan terbukti dalam banyak kajian.
Berhubung dengan kegusaran setengah pihak bahawa langkah ini akan merugikan majikan dan juga pekerja dari sudut peluang dan tawaran bekerja, pengalaman pekerja di sektor perbankan yang telah lama menikmati cuti bersalin 90 hari, terbukti dapat mengurangkan tekanan sekaligus meningkatkan produktiviti pekerja, wajar diambil perhatian.
Kajian Pusat Kajian Dasar dan Ekonomj (CEPR ) keatas wanita selepas cuti bersalin 90 hari mendapati 89 peratus daripada responden menunjukkan impak positif atau tiada kesan terhadap produktiviti, manakala kadar sumbangan (93 peratus) dan aras moral (99 peratus).
Semoga inisiatif Kerajaan ini dapat menghasilkan tenaga kerja wanita dan keluarga mereka yang bahagia dan produktif serta sebagai bukti bahawa Malaysia memang mahu menjadi sebuah negara yang maju dan rahmah kepada rakyatnya.
Dr Hafidzah Mustakim Pengerusi MAWAR-YADIM
KOMEN