Horizon bahawa sejarah adalah sesuatu yang membosankan dan menyukarkan harus dibuang terus daripada minda kita terutama golongan muda Islam yang menganggap sejarah bukan sebuah bidang yang perlu diterokai dengan mendalam.
Ramai juga yang berkata, apa lagi yang hendak dikenang dengan sejarah yang sudah beratus-ratus tahun berlalu itu? Inilah tanggapan yang harus diperbetulkan. Ini kerana, terbukti, sejarah telah meletakkan Islam sebagai kuasa besar dengan kejayaan dalam pelbagai bidang seperti bidang pentadbiran, ekonomi dan keilmuan dari zaman Rasulullah s.aw. hingga zaman Turki Uthmaniyyah.
Penulis adalah seorang yang amat meminati bidang sejarah. Cuma, kelemahan penulis adalah tidak mampu menterjemahkan maklumat yang diperolehi dalam bentuk penceritaan. Hanya sekadar mampu menyimpannya untuk pengetahuan diri sendiri.
Namun, kecintaan penulis terhadap sejarah Islam memang tinggi. Minat tersebut penulis kira diaspirasi oleh buku-buku yang penulis tekuni semasa zaman kanak-kanak dengan membaca koleksi buku yang terdapat di rumah tok di Kg Teluk Melati, Chenor, Maran yang kebanyakan terdiri daripada buku sejarah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Di samping, buku-buku cerita kisah para Anbia dan sahabat yang dipinjamkan oleh seorang jiran.
Oleh sebab itu, penulis kecewa sekiranya ramai anak-anak muda yang hanya mengesampingkan kepentingan mempelajari sejarah. Sejarah Islam itu amat penting. Sejarah Islam sebagai teladan untuk memahami bahawa kita adalah umat yang digeruni satu ketika dahulu. Namun, semua itu telah hilang. Malah orang barat pula lebih beriltizam untuk mendalami ilmu-ilmu Islam.
Penulis kira mendedahkan anak-anak dengan buku-buku sejarah mampu memberikan kesan terhadap minat anak-anak. Sebagaimana ramai ibu bapa yang mendedahkan anak-anak dengan seni mempertahankan diri seperti taekwando dan seni silat. Ibu bapa boleh bermula dengan membelikan buku kisah-kisah Nabi terutama Sirah Rasulullah s.a.w. Dikuti dengan kisah para sahabat dan kisah-kisah tauladan seperti kisah Ashabul Kahfi dan Bilal bin Rabah. Di pasaran kini, terlalu banyak buku kanak-kanak berbentuk Islamik. Kita dapat melihat senario bagaimana para penerbit berlumba-lumba menerbitkan buku-buku genre kanak-kanak ini kerana permintaannya memang sangat tinggi.
Selain itu, anak-anak juga boleh dibawa ke tempat-tempat bersejarah seperti ke muzium yang mempamerkan tinggalan sejarah Islam seperti batu bersurat pertama di Terengganu yang berusia lebih kurang 700 tahun dan masjid-masjid lama yang menjadi tumpuan aktiviti masyarakat pada zaman dahulu. Contohnya, Masjid Tengkera, Melaka dan Masjid Kampung Laut, Kelantan.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan membawa kisah-kisah yang boleh memberi pengaruh yang besar terhadap pemikiran anak-anak. Seeloknya ambil kisah yang diceritakan di dalam al-Quran seperti kisah laut terbelah pada zaman Nabi Musa a.s. Begitu juga dengan kisah-kisah perjuangan yang dipaparkan oleh para khalifah seperti Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar bin Abdul Aziz dan Muhammad al-Fateh.
Kepentingan belajar sejarah bukan sekadar untuk melengkapkan sukatan pelajaran bagi para pelajar. Tetapi lebih daripada itu, kita sebagai umat Islam perlu memahami, meneliti, mendalami dan menghadami sejarah Islam supaya kita juga mampu mempelajari pola, sistem, hikmah dan teori-teori yang pernah ada sebagai pengalaman masa lalu yang mungkin dapat digunakan untuk berhadapan dengan masalah semasa.
Bidang Sejarah mungkin tidak menawarkan peluang pekerjaan yang hebat dengan ganjaran pendapatan yang lumayan. Namun, manfaat menyalurkan maklumat dan fakta itu harus menjadi rebutan setiap golongan muda Islam. Sejarah adalah catatan peristiwa, perlakuan, bukti, artifak dan kronologi peristiwa lampau yang sebenarnya kembali berulang pada masa kini. Kita pernah mendengar pernyataan sejarah mungkin berulang, bukan? Sebagai contoh, faktor-faktor kejatuhan sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Inilah yang perlu menjadi kepekaan setiap umat Islam dalam matlamat untuk memahami sejarah Islam.
Editor.
KOMEN