BUKIT PALAH 18 Jan. – Membaca di masjid untuk mengulang kaji pelajaran antara tips yang dikongsikan Pelajar Lelaki Terbaik bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 negeri Melaka, di sini, pagi tadi.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al – Asyraf, Luqman Hakim Syahbudin, 18, memperolehi keputusan 8 Mumtaz (cemerlang) dan 2 Jayid Jiddan (amat baik) yang diumumkan Pengarah JAIM, Md Azhan Samat, di Auditorium Masjid Al-Azim.
Luqman Hakim berkata, suasana di masjid yang memberi ketenangan dan ruang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, memudahkan untuk dia belajar terutama berkaitan dengan hafalan dan dapat mengulang kaji pelajaran tanpa sebarang gangguan.
“Selalunya saya memperuntukkan masa diantara solat Maghrib dan Isyak, sebelum berhenti solat berjemaah, kemudian selepas Isyak saya sambung mengulang kaji pelajaran.
“Kedamaian dan ketenangan yang ada pada rumah ALLAH di Masjid Simpang Ampat, Alor Gajah banyak membantu untuk saya memberi fokus kepada pelajaran selain doa ibu bapa dan guru-guru,” katanya yang juga anak pertama dari tujuh beradik.
Luqman duduk(tiga,kanan) bersama enam pelajar yang turut menerima sijil mumtaz yang disampaikan Md Azhan.
Dia yang berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam pengajian Islam mengakui, kejayaan yang diperolehi itu berlaku dengan Izin ALLAH SWT dan sebagai hamba-Nya perlu meletakkan keyakinan kepadaNya selain berusaha.
“Keputusan peperiksaan percubaan saya kurang memberangsangkan, dan bermula dari situ saya berusaha membina hubungan baik dengan ALLAH SWT termasuk belajar pun di masjid agar hubungan itu dapat saya jaga.
“Syukur ALLAH, memberi apa yang saya usahakan dan tak kira apa pun kerjaya saya, yang penting saya nak menegakkan syiar Islam dan berdakwah,” katanya.
Luqman Hakim antara tujuh pelajar di negeri ini yang memperolehi sijil mumtaz berbanding tahun 2016 hanya dua orang sahaja. –SINAR HARIAN
KOMEN