Home » Persuasif » Bekerja itu ibadah, nikmatilah!

Bekerja itu ibadah, nikmatilah!

Oleh HANIF MUDHOFAR

Manusia yang paling beruntung adalah mereka yang diberi hidayah memeluk agama Islam (Muslim) dan berusaha dengan segenap kemampuannya menjadi Muslim yang baik, penuh integriti dan moral dalam menjalani kehidupannya sehari-hari. Setiap bentuk perbuatan positif yang dilakukannya dinilai sebagai suatu ibadah di sisi Tuhan, termasuk di dalamnya adalah bekerja untuk memenuhi keperluan sehari-hari. Bekerja, baik dilakukan oleh orang yang belum berkeluarga mahupun yang sudah berkeluarga jika dilakukan dengan niat yang baik mempunyai nilai yang istimewa sama seperti sedang jihad fisabilillah.

Salah satu sifat jihad adalah memerlukan pengorbanan dan ketulusan dalam melakukannya. Seseorang dikatakan syahid kerana rela berkorban dengan jiwa dan raganya demi menyelamatkan bangsanya dari kezaliman, begitu pula orang-orang yang bekerja memerlukan pengorbanan masa, tenaga, dan fikiran, bahkan wang (sebagai modal usaha) untuk menyelamatkan dirinya dan keluarganya dari kesengsaraan kewangan.Manusia dibekali dengan kemampuan yang berbeza-beza. Kemahiran-kemahiran yang pelbagai itu jika dicermati adalah salah satu bentuk dari kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Apa jadinya jika semua penduduk dalam suatu wilayah mempunyai kemahiran yang sama? Tentu saja tidak akan ada keseimbangan. Adanya sebuah peradaban ini kerana adanya kemajmukan kemampuan yang dimiliki oleh manusia. Kemampuan yang berbeza-beza tersebut menghasilkan pekerjaan yang berbeza-beza. Tidak ada pekerjaan yang terbaik, kerana hal itu sifatnya sangat subjektif. Sebagai contoh, sebahagian orang mungkin selesa bekerja di pejabat daripada kerja di lapangan. Tetapi tidak dengan yang lain yang mempunyai hobi bekerja di lapangan. Seseorang yang ahli dalam bidang kesihatan pasti bersetuju jika pekerjaan terbaiknya adalah menjadi doktor. Namun, bagi yang pakar di bidang undang-undang pasti akan mengatakan bahawa pekerjaan yang terbaik adalah menjadi peguam atau hakim.Apapun jenis pekerjaan yang dilakukan hendaknya tetap mempunyai prinsip yang sama sesuai dengan ajaran Islam.

Paling tidak ada empat prinsip yang harus dimiliki bagi sesiapa yang bergelut dengan pekerjaannya, iaitu: kejujuran, ketekunan, keikhlasan dan rasa tanggung jawab (profesionalisme).

Kejujuran

Dewasa ini, menjadi seorang yang berpegang teguh dalam kejujuran boleh dikatakan cukup jarang berlaku, memandangkan semakin ketatnya persaingan antara manusia dalam sebuah pekerjaan. Orang yang mempunyai tujuan dan pedoman hidup yang jelas akan senantiasa dalam garis kejujuran, sedangkan bagi orang yang hanya memikirkan hasil atau keuntungan, maka potensi menjadi peribadi yang curang tidak dapat dielakkan. Al-Quran telah memberikan isyarat untuk orang-orang yang bekerja supaya sentiasa mengutamakan kejujuran. Seperti contoh di dalam Surah al-Muthaffifin ayat 1-3 mengingatkan agar seseorang tidak berlaku curang saat mengira timbangan (dalam suatu perdagangan). Sebab, kecurangan, sama ada cepat atau lambat akan menyengsarakan pelakunya. Salah satu cara berkesan untuk mengelakkan sifat curang adalah dengan sentiasa ingat akan akibat yang ditimbulkan dari perbuatan curang seperti yang dimaklumkan oleh ayat al-Quran tersebut. Aktiviti bekerja yang didasari dengan prinsip kejujuran mampu meletakkan seseorang pada ketenangan dalam bekerja.

Ketekunan

Ada sebuah maqala (ucapan) yang menyebutkan bahawa orang yang tekun, walaupun kurang pandai, akan cepat berhasil daripada orang yang pandai tapi tidak tekun. Boleh jadi, inilah yang dimaksudkan dengan karamah (kemuliaan, keunggulan) untuk orang-orang yang senantiasa istiqamah (tekun) dalam sebuah aktiviti atau pekerjaan yang baik. Tidak sedikit orang yang berjaya dalam bekerja bermula dari sesuatu yang mudah dan dilakukan dengan penuh kesungguhan. Ketekunan ini mempunyai indikasi bahawa yang dilakukannya ada unsur kesungguhan, dipersiapkan dengan matang (penuh perhitungan) dan berterusan. Sebagaimana aktiviti solat atau perintah solat dalam al-Quran selalu diikuti oleh lafaz yuqimu (atau dalam bentuk lain yang berasal dari akar kata yang sama) yang bererti mendirikan. Solat yang baik adalah yang dilakukan dengan kesungguhan hati, dipersiapkan dengan maksimum dan dilakukan secara berterusan (istiqamah). Jadi, pekerjaan yang baik adalah pekerjaan yang dikerjakan dengan unsur-unsur yang melekat seperti halnya dalam mendirikan solat.

Keikhlasan

Surah al-Insan ayat 9 menyebutkan bahawa: “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharapkan keredaan Allah, kami tidak mengharap balasan dan terima kasih dari kamu.”

Seperti itulah gambarannya orang-orang yang tulus semata-mata kerana Allah SWT. Seorang pekerja yang tulus tidak menjadikan hasil (upah) menjadi matlamat utamanya. Ia tidak mempersoalkan apa-apa jua rintangan yang dialaminya dalam bekerja, selalu ada hikmah dan pembelajaran dari setiap aktiviti pekerjaannya. Semua dijalani dan diterima dengan ketulusan hati. Pengertian tulus di sini adalah mengerahkan segala kemampuan yang ada dengan sebaik mungkin. Orang yang melakukan pekerjaan tanpa didasari niat bekerja dengan tulus hanya ingin mengharap reda Allah SWT terdedah mengalami kekecewaan. Sebab, risiko orang yang bekerja adalah memperoleh hasil yang tidak sesuai dengan apa yang diinginkannya. Risiko-risiko itu boleh berupa penghasilan yang kurang, mengalami kegagalan, dimarahi ketua, pekerja tidak profesional, tidak boleh mengeluarkan kemampuan maksimum, dan sebagainya. Oleh itu, keikhlasan berfungsi mengurangkan bahkan menghilangkan risiko-risiko tersebut. Sehingga orang yang bekerja dengan ikhlas (niat yang baik) tidak akan merasa rugi sedikitpun dengan hasil yang akan diperoleh dari pekerjaannya itu.

Tanggung jawab

Prinsip yang keempat ini tidak kalah penting berbanding dengan tiga prinsip sebelumnya. Pekerjaan yang dilakukan dengan penuh tanggung jawab akan mendapat hasil yang baik dan maksimum. Dengan prinsip ini, seorang pekerja akan merasa puas dengan apa yang dikerjakannya. Orang-orang yang bekerja di bawah asas ini akan menjadikannya sebagai pekerja yang profesional dan berdedikasi tinggi terhadap pekerjaannya. Dengan kata lain, prinsip tanggung jawab merupakan prinsip pokok bagi kalangan profesional. Seorang profesional selalu menuntut dirinya sendiri untuk bekerja sebaik mungkin dengan standard di atas rata-rata untuk meraih hasil maksimum. Apabila ada kerugian yang diakibatkan olehnya, baik secara sengaja mahupun tidak sengaja, maka ia selalu bersedia mempertanggung jawabkannya dengan penuh kesedaran.

Formula 3K

Oleh hal yang demikian, bekalan empat prinsip ini akan mendorong manusia menjadi pekerja yang mempunyai keperibadian yang baik. Empat prinsip tersebut jika boleh dipermudahkan lagi akan membentuk formula 3K, iaitu kerja keras, kerja cerdas, dan kerja ikhlas. Manusia diciptakan dengan segala kelengkapan “hardware” seperti integriti fizikal dan berbeza-beza “software” yang meliputi banyak kebolehan dan potensi diri yang istimewa selayaknya mampu mendapatkan kehidupan yang berkualiti dan menyenangkan.

Sejarah mencatat bahawa tidak ada orang yang berjaya dengan cara bermalas-malasan. Semua pasti diraih dengan usaha yang sungguh-sungguh, sebagaimana pepatah bijak mengatakan “man jadda wajada”, iaitu barang siapa yang bersungguh-sungguh maka ia pasti berjaya. – MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *