JOHOR BAHRU – “Mimpi dibakar api marak adalah titik mula perubahan saya daripada dunia mak nyah”.
Demikian permulaan Mohd Khairolizan Atan, 43, yang dikenali sebagai Julia, kembali kepada fitrah lelaki selepas bergelumang dengan dosa selepas terlibat dalam aktiviti ‘mak nyah’.
“Dalam mimpi itu, saya menjerit ketakutan dan meminta tolong daripada keluarga dan rakan, namun tiada siapa yang membantu dengan api semakin marak membakar diri.
“Namun apabila saya meminta pertolongan Allah dengan menyebut nama-Nya berkali-kali, api yang marak itu tiba-tiba makin surut dan semakin hilang. Lalu saya terjaga dari tidur dan mula memikirkan maksud mimpi saya itu,” katanya.
Selepas mengalami mimpi tersebut, Khairolizan nekad untuk berubah sebelum membuang implan payudara yang dilakukan di Thailand.
Berkongsi ceritanya kepada Harian Metro, pada awal-awal bergelumang dunia ‘mak nyah’, dia mula berjinak pada zaman sekolah sebelum mengubah penampilan lebih kewanitaan selepas Tingkatan Lima.
Perubahannya itu ditentang ahli keluarga dan membuatkan dia dihalau keluarga akibat enggan mengubah penampilan kepada lelaki.
Ujarnya, keadaan sekelilingnya yang dipenuhi ‘mak nyah’ mendorongnya untuk mengumpul wang sebanyak RM50,000 bagi melakukan pembedahan penukaran jantina dan wajah di Thailand.
“Namun saya hanya sempat melakukan pembedahan memasang implan payudara dengan kos hampir RM5,000 (40,000 Thai baht).
“Wang dikumpul RM50,000 itu dirompak dalam dua kejadian berasingan menyebabkan hasrat melakukan pembedahan lanjut tidak kesampaian,” katanya.
Hikmah di sebalik perubahannya kepada fitrah, hubungan bersama keluarganya sudah pulih malah mereka sekeluarga sudah mengerjakan umrah bersama-sama.
Kini Khairolizan menumpukan usaha dakwahnya dengan Pertubuhan Kebajikan Kembara Hijrah Johor yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu.
Pertubuhan yang mempunyai hubungan baik dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu memiliki seramai 50 keahlian aktif bekas ‘mak nyah’ yang insaf selain 400 ahli ‘mak nyah’ di seluruh negeri ini.
“Kami mengadakan kelas mengaji serta kelas fardu ain dengan bimbingan JAINJ selain ceramah agama supaya ahli mempunyai ruang dan peluang belajar agama tanpa prejudis dan menerima pandangan serong masyarakat. Insya-Allah lambat laun lebih ramai akan kembali kepada fitrah,” katanya selepas ditemui di Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, semalam.
Dalam majlis tersebut, Khairolizan diberikan penghargaan yang disampaikan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, atas usaha aktifnya membantu golongan ‘mak nyah’ di negeri ini untuk kembali kepada fitrah dan menjadi jambatan antara golongan itu dengan JAINJ.—AlHijrah Online
KOMEN