Kuala Lumpur – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan kempen Ramadan Penuh Makna sebagai galakan kepada masyarakat untuk menunaikan zakat harta dan fitrah.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, zakat merupakan salah satu kewajipan bagi menyucikan jiwa dan wang tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir miskin membuat persiapan Aidilfitri.
Menurutnya, PPZ-MAIWP menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti pakej umrah dan percutian, simpanan di Tabung Haji, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) serta Amanah Saham Berhad (ASB) sebagai galakan kepada masyarakat untuk membayar zakat dengan PPZ-MAIWP khususnya secara dalam talian.
“Pembayaran secara dalam talian menunjukkan peningkatan pada awal pandemik Covid-19 tahun 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kaedah tersebut menunjukkan penurunan pada 2021 selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan.
“Pada tahun ini, kita mahu menggalakkan lebih ramai lagi membuat bayaran secara dalam talian untuk mengurangkan aktiviti bersemuka. Walaupun negara beralih kepada fasa endemik namun wabak Covid-19 belum berakhir,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, hadiah yang ditawarkan tidak menggunakan duit zakat atau mengambil hak asnaf sebaliknya merupakan bahagian amil yang sepatutnya diterima sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP tetapi dikembalikan kepada pembayar zakat bagi menggalakkan kempen kesedaran berzakat.
Justeru, beliau menyeru orang ramai tidak bertangguh menunaikan kewajipan berzakat zakat terutama zakat fitrah hingga hujung Ramadan hanya kerana mahu membayar zakat cara akad menerusi imam atau amil di masjid.
“Jangan kerana menunggu imam atau amil atau membayar saat akhir hingga menyebabkan kita terlepas menunaikan tanggungjawab.
“Apabila terlepas membayar zakat fitrah selepas akhir Ramadan, kita tetap wajib membayar tetapi dalam keadaan kita berdosa. Wang yang dibayar bukan dipanggil zakat tetapi sedekah,” katanya.
Pada perkembangan sama, beliau memberitahu pelbagai program menarik dirangka khusus kepada pembayar zakat dan asnaf bagi memeriahkan kedatangan Ramadan antaranya ziarah Ramadan dan program khas seperti mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir, bual bicara santai dan Jom Ngaji.
“ALLAH SWT turunkan ujian apabila PKP lalu semua operasi bazar dan pusat membeli-belah ditutup, kali ini apabila diberikan semula nikmat Ramadan maka syukurilah.
“Ambillah peluang untuk memanfaatkan kelebihan yang diberikan ini dengan menggandakan amalan kebaikan kita seperti membaca al-Quran, solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu, berzakat dan banyak lagi,” katanya.
Untuk rekod, zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini ditetapkan mengikut kadar RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.
Sebanyak 10 kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula 8.15 pagi hingga 4.30 petang termasuk cuti umum.
Bayaran zakat juga boleh dilakukan secara dalam talian di fitrah.zakat.com.my (zakat fitrah) dan zakat.com.my (zakat harta) selain kaedah perbankan internet dan e-Wallet (Boost, Shopee, GoPayz). – Kumpulan Karangkraf
KOMEN