SHAH ALAM – Beraksi di peringkat antarabangsa dan bertarung dengan ‘otai’ serta golongan yang lebih berusia dalam pertandingan catur, langsung tidak menggentarkan Nur Batrisya Wafa Mohsen, 17, yang kini membawa nama Malaysia di Prague, Republik Czech.
Aksinya yang bersahaja bermain catur di samping ‘mat saleh’ viral di media sosial sehingga mengundang rasa kagum dalam kalangan netizen.
Ditemani ibunya, Wan Fatahhiyah Remli, 42, Batrisya kini bertarung dalam Festival Catur Antarabangsa ke-20 di Prague Open, bermula 7 hingga 14 Januari ini.
Bapanya, Mohsen Amdan, 44, ketika dihubungi berkata, penyertaan anaknya di kejohanan itu dibiayai mereka sendiri kerana ingin memberikan pendedahan dan pengalaman beraksi di luar negara.
“Dalam kejohanan ini, Nur Batrisya mewakili kumpulan The Hacker Checker dalam kategori terbuka dan akan bermain beberapa perlawanan. Selepas kejohanan ini, dia akan bertanding dalam kejohanan lain pula, tapi masih di Republik Czech.
“Sebelum ini Nur Batrisya pernah menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa tetapi disebabkan pandemik, ia dilakukan secara dalam talian.
“Anak saya masih belum pada tahap ‘ternama’ hingga ada yang nak biaya, jadi usaha kami sendiri supaya dia mendapat pengalaman dan kariernya dalam permainan catur boleh pergi lebih jauh,” katanya.
Jelas Mohsen, anak sulung daripada lima beradik itu juga merupakan salah seorang daripada penerima Anugerah Biasiswa Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekolahnya.
Selain itu, Nur Batrisya banyak memenangi kejohanan catur tempatan dan terbaru, muncul naib johan kategori bawah 18 tahun bagi Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor 2021.
Menurutnya, minat Nur Batrisya terhadap catur berputik sejak berusia 10 tahun dan dia bernasib baik apabila guru besar dan gurunya di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, Selangor sebelum ini banyak ‘membuka jalan’ kepadanya.
“Sekarang ini, dia juga membuat ‘coaching’ kepada remaja dan kanak-kanak yang berminat. Kesemua anak-anak saya juga memang bermain catur dan dua adik Batrisya iaitu Nur Basyira Wafa, 15, dan Mohd Evan Mikail, 11, juga pernah beraksi di Thailand.
“Apa yang saya harapkan, pendedahan beraksi di luar negara ini memberi pengalaman baharu kepada Batrisya sebab tidak ramai yang mendapat peluang sebegini. Bila balik nanti, saya harapkan dia mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain-pemain muda, terutamanya perempuan kerana biasanya catur didominasi lelaki,” ujarnya. – Karangkraf
KOMEN