Home » Langit Terbuka » Bantuan Zakat Wajar Diperluaskan Kepada OKU

Bantuan Zakat Wajar Diperluaskan Kepada OKU

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, definisi untuk penerima-penerima zakat tidak semestinya terhad kepada tafsiran konvensional tetapi ia boleh dilihat dalam konteks dakwah, pendidikan dan kebajikan

PUTRAJAYA – Penyaluran wang zakat dicadangkan agar dikembangkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi asnaf fisabilillah.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, definisi untuk penerima-penerima zakat tidak semestinya terhad kepada tafsiran konvensional tetapi ia boleh dilihat dalam konteks dakwah, pendidikan dan kebajikan.

“Kita boleh beri zakat kepada OKU melalui asnaf fisabilillah dan ada cara untuk membantu mereka dengan menggunakan duit zakat,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Puspanitapuri di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan Aidilfiti kepada 500 individu terdiri daripada lapan kumpulan sasar termasuk ibu tunggal, golongan OKU, golongan miskin, warga emas, kanak-kanak dan mangsa bencana.

Ujar Dr. Maszlee, beliau yang mempunyai pengalaman membantu sekolah kanak-kanak sindrom down serta autisme sekitar lima tahun dahulu meluahkan pernah berdepan kekangan untuk mendapat bantuan zakat untuk golongan berkenaan.

“Kebanyakan pengurusan zakat yang mengikut (kaedah) pengagihan zakat secara tradisional tidak meletakkan golongan orang kurang upaya dalam golongan penerima (asnaf).

“Tetapi kebanyakan cendekiawan moden menyatakan kita boleh menggunakan wang zakat untuk membantu mereka dari segi pendidikan, dan tujuan lain.

“Walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran sebagai penerima zakat tetapi mereka (golongan OKU) boleh dibantu dengan cara lain menerusi bahagian di bawah fisabilillah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *