Home » Langit Terbuka » Bantuan kewangan haji diumum selepas kerajaan Arab Saudi umum kos kerjakan haji – Idris

Bantuan kewangan haji diumum selepas kerajaan Arab Saudi umum kos kerjakan haji – Idris

Gambar hiasan jemaah haji melaksanakan ibadah melontar jamrah pada musim haji 1442H mengikut SOP Covid-19 - Foto Arkib

Kuala Lumpur- Bantuan kewangan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah yang akan mengerjakan ibadah itu pada tahun ini akan diumumkan selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos keseluruhan yang dikehendaki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu akan diumumkan selepas prosedur operasi standard (SOP)negara itu dimuktamadkan.

“Tahun ini Arab Saudi telah naik VAT (Cukai Nilai Ditambah) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan juga bilik hotel dulu boleh duduk enam ke tujuh orang dan kali ini dengan SOP COVID-19 mungkin kurang (boleh menginap),” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Program Mobiliti Tabung Haji di Menara TH disini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya boleh memuktamadkan bantuan kewangan haji serta kos keseluruhan mengerjakan haji selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos-kos yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar berkata agihan keuntungan TH dijangka diumumkan hujung bulan ini atau awal bulan depan.

“Insya-Allah hujung bulan ini kita akan umum selepas mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Insya-Allah akan ada keuntungan,” katanya.

Sementara itu, TH telah menyalurkan sumbangan sebanyak 25 buah kenderaan (van serbaguna) kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih menerusi program Mobiliti TH bernilai RM2.3 juta, hari ini.

Program tersebut merupakan antara program zakat TH bertujuan melancarkan urusan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti harian yang akan memanfaatkan seramai 1,582 orang di rumah kebajikan dan persatuan tersebut.

Idris berkata sumbangan van serbaguna itu bertepatan kerana banyak organisasi dan rumah kebajikan di negara ini yang tidak mempunyai kenderaan selesa dan bersesuaian selain kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri sejak COVID-19 melanda negara.- BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *