KUALA LUMPUR 15 Jan. – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) diumumkan sebagai bank Islam pertama di dunia dan Asia Tenggara yang menjadi ahli terbaharu rangkaian perbankan Global Alliance for Banking on Values (GABV).
Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid berkata, keahlian Bank Muamalat dalam rangkaian bank berasaskan nilai-nilai terkemuka di dunia itu membolehkannya menjalankan tanggungjawab yang lebih besar bagi mempengaruhi perubahan sosial rakyat di negara ini.
“Sebagai sebuah bank Islam, Bank Muamalat menggalas tanggungjawab besar untuk mempengaruhi perubahan sosial dan mewujudkan nilai kepada rakyat lebih daripada sekadar menjalankan aktiviti perbankan yang berorientasikan keuntungan,” katanya pada majlis pengumuman pengiktirafan rasmi Bank Muamalat sebagai ahli GABV di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat Kanan GABV, David K. Korslund dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid.
Tambah Mohd. Munir, penyertaan Bank Muamalat sebagai ahli baharu GABV juga turut mencerminkan permintaan yang semakin bertambah bagi pergerakan perbankan berasaskan nilai. – UTUSAN
KOMEN