KLUANG – Bajet pendidikan bagi tahun hadapan dijangka ditumpukan bagi memperbaiki infrastruktur dan membaik pulih sekolah di samping pertingkatkan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di universiti.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, lebih 10 peratus sekolah daif dapat diperbaiki dan dipulihkan.
“Setakat 2018, kita sudah boleh selesaikan 394 sekolah, itu telah melebihi sasaran 10 peratus sekolah daif sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan. Tahun hadapan, kita harap capai 50 peratus, melebihi tahun ini.
“Alhamdulillah, saya akan ikuti perkembangan ini secara dekat, saya akan pastikan para pelajar dapat belajar dengan selesa dan semua guru akan dapat mengajar dengan selesa. (Buat masa ini), kebanyakan pembaikpulihan sekolah daif adalah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Bas Harapan Johor di Simpang Renggam, di sini, hari ini.
Sementara itu, Maszlee berkata peruntukan bagi latihan dalam bidang TVET adalah kerana kerajaan mendapati mereka yang mempunyai kemahiran akan berpotensi mendapat kerja lebih baik.
“Cadangan bajet bagi kementerian itu telahpun diberikan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan. Kita akan memastikan bajet pendidikan tidak akan dipotong,” kata beliau.
Maszlee berkata demikian ketika ditanya mengenai bajet 2019 untuk pendidikan.
Pembentangan Bajet 2019 di Parlimen dijangka awal November ini.
Ketika ditanya mengenai cadangan elaun khas untuk sara hidup bagi guru di Johor dan Selangor, beliau berkata pihaknya sedang membuat kertas cadangan mengenai perkara itu bagi mengatasi kekurangan guru yang kritikal di dua negeri itu.
“Saya sendiri mahukan perkara itu (elaun khas) berlaku kerana kita menghadapi kekurangan guru di kawasan-kawasan itu,” kata beliau. – Bernama
KOMEN