SHAH ALAM – Hasrat kerajaan untuk memperbaiki semula hubungan antara Malaysia dengan India perlu dilakukan berlandaskan prinsip dan kebenaran.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hubungan baik yang mahu dijalin semula antara kedua-dua negara tidak harus menggadaikan prinsip keadilan dan kebenaran yang selama ini dihormati oleh dunia terhadap Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia perlu bersikap berkawan dengan semua pihak, namun tidak harus melenturkan prinsipnya mempertahankan kebenaran bila berlaku ketidakadilan ke atas rakyat mana-mana negara terutama terhadap rakyat minoriti.
Menurutnya, pendirian Malaysia menolak penafian hak jutaan golongan minoriti Muslim dan kelompok minoriti yang lain di India, yang memberi implikasi besar kepada kestabilan rantau tidak harus berundur ke belakang.
Katanya, Malaysia harus berpendirian tegas dan adil dalam isu yang menyentuh pelbagai nasib golongan minoriti Muslim dan penganut agama minoriti yang lain serta isu penafian hak rakyat Kashmir oleh kerajaan India supaya Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diguna pakai untuk menyelesaikan konflik yang tercetus kini di Kashmir akibat tindakan India menzalimi rakyat Kashmir.
“Kami mengakui Malaysia adalah negara kecil, namun ini tidak bermakna kita harus bergantung kepada negara lain dalam usaha menjalin hubungan perdagangan.
“Jika hubungan rapat mahu dijalinkan dengan India yang dianggap kuasa besar ia tidak harus menggadai prinsip keadilan hanya kerana Malaysia mahu meningkatkan jualan minyak kelapa sawit kepada India,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mac. – Sinar Harian
KOMEN