Home » Persuasif » Bahaya pemikiran golongan antihadis

Bahaya pemikiran golongan antihadis

Oleh IZWAN MOHD ALI

Sejarah telah menyaksikan Islam tidak pernah sunyi daripada serangan musuh-musuh yang tidak menyenangi akan kesucian dan kesyumulan agama Allah SWT ini. Semenjak daripada zaman Rasulullah SAW lagi, golongan kuffar sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam sama ada dari luar mahupun dari dalam. Keadaan ini akan terus berlaku sehinggalah umat Islam mengikuti jalan mereka seperti mana Allah SWT telah merakamkan keadaan ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): ‘Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar’. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu,” (al-Baqarah:120).

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, dekad berganti dekad dan kurun berganti kurun, namun agenda musuh-musuh Islam masih terus hidup biar pun golongan yang terdahulu sudah digantikan dengan golongan yang baharu. Misi mereka tetap sama, iaitu ingin menghancurkan agama Islam dan umatnya.

Kini, selain diserang secara fizikal, musuh-musuh Islam turut melakukan serangan secara halus terhadap pemikiran umat Islam tanpa disedari. Penyebaran ideologi-ideologi yang berteraskan kepada falsafah sekularisme, liberalisme, humanisme, hedonisme dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan akidah Islam merupakan senjata halus yang digunakan oleh mereka bagi menyerang umat Islam dengan menjadikan umat Islam terpedaya dan leka dengan umpan yang disediakan mereka.

 

Gerakan Anti Hadis

Serangan musuh-musuh Islam ini tidak dapat ditujukan kepada al-Quran kerana Allah SWT telah berjanji untuk memelihara al-Quran daripada penyelewengan dan pemalsuan (al-Hijr: 9). Oleh itu, serangan yang dilakukan adalah terhadap autoriti hadis Rasulullah SAW.

Jumhur ulama telah bersepakat bahawa hadis merupakan sumber kedua terpenting syariat Islam selepas al-Quran. Para fuqaha semenjak daripada zaman sahabat lagi kembali merujuk kepada hadis bagi menafsirkan al-Quran sesuai dengan fungsinya sebagai penafsir al-Quran. Tanpa hadis, tidak memungkinkan kita untuk memahami maksud yang tersirat disebalik ayat-ayat al-Quran. Di antara fungsi hadis juga adalah sebagai penerang kepada nas al-Quran yang tidak jelas, mengkhususkan yang umum, mentaqyidkan yang mutlak dan sebagai pembina hukum berdasarkan sumber daripada al-Quran. Ibadat yang dilakukan semata-mata hanya kepada Allah SWT juga tidak dapat dilaksanakan tanpa panduan daripada hadis. Misalnya, daripada hadislah segala pergerakan dan bacaan di dalam solat yang merupakan rukun fi’li dan qauli dapat kita laksanakan dengan sempurna.

Dengan serangan yang dilakukan terhadap autoriti hadis Rasulullah SAW ini mereka yakin dapat menjauhkan umat Islam daripada mengamalkan ajaran Islam yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Gerakan ini dikenali sebagai Gerakan Anti Hadis. Di sesetengah tempat, golongan ini turut dikenali sebagai Quraniyyun, Mungkir Sunnah dan Firqah Inkar as-Sunnah. Secara umum, gerakan anti hadis adalah satu gerakan yang dibawa oleh individu atau kumpulan yang cuba untuk mempertikai, meragui dan menolak hadis Rasulullah SAW sebagai autoriti kedua selepas al-Quran walaupun telah dibuktikan kesahihannya oleh ulama hadis. Mereka cuba mengetengahkan gagasan mereka berkenaan dengan hadis dan menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat Islam. Golongan ini terbahagi kepada tiga kategori berdasarkan kepada pegangan mereka iaitu yang pertama; golongan yang sememangnya bermatlamat menghancurkan Islam, kedua; golongan yang hanya memadai dengan mengikut al-Quran sahaja dan mengingkari hadis secara umum dan ketiga; golongan yang menerima hadis tertentu tetapi menolak sebahagian yang lain kerana mengikut hawa nafsu dan logik akal semata-mata.

Sejarah telah merakamkan golongan yang mempertikaikan hadis ini telah bermula semenjak daripada zaman sahabat lagi dan berkembang pada zaman tabi’in kemudiannya menular pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz (63H-101H) dan seterusnya pada zaman Imam as-Syafi’i (150H-204H). Mereka telah memfitnah Imam as-Syafie dengan mengatakan bahawa beliaulah orang yang pertama menggunakan hadis sebagai hujah selepas al-Quran, sedangkan ramai di antara sahabat dan tabi’in sebelum beliau telah mula menggunakan hadis seperti Imam Malik (93H-179H) yang telah mengumpulkan hadis dalam kitab beliau yang terkenal iaitu al-Muwatta’. Bagi menghadapi golongan ini, Imam as-Syafie telah mengambil pendekatan halaqah pengajian dan dialog dengan memberi penerangan kepada orang ramai akan kesalahan yang telah dilakukan oleh golongan ini. Beliau juga telah menjawab segala tuduhan yang dilemparkan dalam kitab beliau yang terkenal iaitu al-Umm dan juga Jima’ al-‘Ilm.

 

Orientalis

Pemikiran golongan anti hadis ini tidak terhenti di situ sahaja. Kesinambungan pemikiran mereka diteruskan oleh golongan orientalis di sekitar kurun ke-19 dengan tercatatnya nama-nama seperti Ignaz Goldzieher (1850M-1921M) dari Hungary berketurunan Austro-Hungary serta beragama Yahudi dengan bukunya yang bertajuk Muhammedanische Studien dan salah seorang pengikutnya yang terkenal iaitu Joseph Schacht (1902M-1969M) berasal dari Jerman dengan bukunya yang bertajuk An Introduction to Islamic Law. Hasil daripada kajian mereka inilah ramai umat Islam yang terpengaruh dengan idea-idea mereka yang lebih bersifat rasional dan mengenepikan pandangan ulama yang berpandukan kepada manhaj kajian ilmu-ilmu Islam. Di antara objektif mereka adalah untuk menimbulkan keraguan terhadap kesahihan hadis dengan mendakwa hadis adalah rekaan umat Islam terkemudian dan hasil daripada perkembangan semasa umat Islam.

Di Indonesia, kumpulan anti hadis ini telah wujud sekitar tahun 1980-an, dengan kewujudan beberapa kumpulan yang menolak hadis atau menerimanya secara bersyarat walaupun sahih. Di sana mereka digelar sebagai Ingkar Sunnah yang diketuai oleh Ir. Muhammad Ircham Sutarto dan kumpulan ini telah diisytiharkan sesat oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada 30 September 1983.

Gerakan anti hadis di Amerika telah bermula daripada Seminar Misionari Kristian dan Yahudi pada 8 hingga 17 Jun 1983 yang dipelopori oleh Dr. Rashad Khalifa (1935M-1990M) yang membincangkan masalah ‘Islam: Dahulu, Kini dan Akan Datang’. Dalam seminar tersebut, beliau telah menyatakan bahawa hadis-hadis adalah buatan syaitan dan mempercayai hadis bermakna mempercayai buatan syaitan. Gerakan yang dipimpin oleh beliau di Amerika dan Eropah bermatlamat untuk memesongkan sarjana-sarjana Barat yang telah memilih Islam sebagai agama mereka dengan menjauhkan mereka daripada mendapatkan sumber Islam yang sebenar iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Beliau bukanlah seorang yang pakar dalam bidang pengajian Islam walaupun beliau seorang pendakwah tetapi perjuangannya adalah untuk memerangi sunnah Rasulullah SAW dengan berganding bahu bersama dengan golongan orientalis.

Di Malaysia, golongan ini bernaung di bawah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jama’ah al-Quran Malaysia (JAM) yang kemudiannya dikenali sebagai Forum Iqra’ yang dipimpin oleh Kassim Ahmad (1933M-kini). Setelah diteliti, pemikiran beliau banyak dipengaruhi oleh idea-idea Rashad Khalifa yang berpegang dengan Kod 19 iaitu angka kunci yang tidak boleh dibahagikan lagi (indivisible number) bagi membuktikan kemukjizatan al-Quran. Di antara ajaran yang dibawa oleh golongan ini adalah: pertama; syahadah yang pertama sahaja diterima manakala syahadah yang kedua terbatal, kedua; rambut bukan aurat wanita kerana dalam berwuduk, kepala adalah anggota badan yang wajib dibasuh, ketiga; penafsiran al-Quran dengan al-Quran dan akal sahaja tanpa merujuk kepada hadis, para sahabat dan ulama tafsir, keempat; mempertikaikan hukuman hudud kerana hudud dalam al-Quran bermaksud sempadan, kelima; menganggap umat Islam mendewa-dewakan Rasulullah SAW dengan cara berselawat kepada Baginda dan keenam; hari kiamat bukanlah seperti yang difahami oleh majoriti umat Islam tetapi suatu evolusi yang akan berlaku kepada dunia. Pemikiran golongan ini juga dilihat tidak konsisten dengan menerima hadis tertentu yang selari dengan pemikiran mereka, namun pada masa yang sama menolak hadis tertentu yang bercanggah dengan pemikiran mereka. Sebagai contoh, mereka menerima hukum-hakam yang terkandung dalam Piagam Madinah dengan alasan ianya ditulis atas perintah Nabi Muhammad SAW tetapi menolak hadis-hadis lain.

 

Pemantauan Pihak Berkuasa

Dalam mendepani golongan ini, Imam al-Suyuti (849H-911H) dalam bukunya Miftah al-Jannah ada berkata: “Ketahuilah bahawa siapa yang mengingkari hadis Nabi SAW sama ada ucapan atau perbuatan dengan syaratnya yang makruf pada usul yang menjadi hujah maka hukumnya kafir dan keluar daripada Islam”. Berdasarkan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 23 November 1995 dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke 12/2 penggal ke 3 pada 5 Disember 1995 menyatakan bahawa mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang pada ajaran dan fahaman yang terkandung dalam buku dan risalah yang dipegang oleh golongan ini seperti buku “Hadis: Satu Penilaian Semula” dan “Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik” tulisan Kassim Ahmad, buku “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu” dan “Hadis di dalam al-Quran” tulisan Idris Abdul Rahman, buku “Bacaan” tulisan Othman Ali, buku “The Computer Speaks-God’s Message To the World” tulisan Dr. Rashad Khalifa dan risalah “Iqra” terbitan Jemaah al-Quran Malaysia adalah murtad. Para ulama juga semenjak daripada dahulu hingga kini telah banyak menjawab kepada pemikiran menyimpang golongan ini dengan penghasilan buku, jurnal, makalah, artikel dalam majalah dan surat khabar. Mereka tidak pernah jemu dalam menyatakan kebenaran Islam berpandukan al-Quran dan hadis.

Disebabkan pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan mufti dan jabatan agama Islam negeri-negeri memantau aliran-aliran pemikiran yang menyimpang daripada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, maka golongan ini tidak dapat menyebarkan idea-idea mereka di khalayak umum secara terbuka. Dengan itu, mereka menggunakan medium internet termasuk laman sesawang, blog, Facebook dan sebagainya untuk  menyebarkan idea-idea mereka. Setelah diteliti, golongan ini masih aktif menyebarkan idea-idea yang dianggap betul pada kaca mata mereka melalui internet. Oleh itu, kita hendaklah berjaga-jaga agar pemikiran golongan ini tidak dapat mempengaruhi diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Sesungguhnya, bagi mendepani golongan ini kita hendaklah sentiasa meningkatkan ilmu khususnya ilmu agama dengan mempelajarinya daripada ulama yang muktabar bagi mendapatkan ilmu yang benar-benar menepati ajaran Islam. Di samping itu, kita juga hendaklah berhati-hati dalam menggunakan internet sebagai medium untuk mendapatkan ilmu agama. Jika terdapat kemusykilan berkenaan dengan sesuatu hadis, pastikan merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang hadis bagi mendapatkan penjelasan. Dalam menafsirkan al-Quran, pastikan kita menggunakan kaedah-kaedah yang telah digariskan ulama tafsir. Jadikanlah, Ahlus Sunnah wal Jamaah sebagai pegangan yang menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan utama.

Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya di antara kamu pasti akan menyaksikan perselisihan yang banyak, maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah al-khulafa’ al-mahdiyyin al-rasyidin, berpaut teguhlah kepadanya dan gigitlah ia sekuat-kuatnya dengan gerahammu,” (HR Abi Daud, Kitab al-Sunnah, no. 4607).

Allah SWT juga telah berfirman akan hal ketaatan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada ‘ulil amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya” (an-Nisa’: 59).

Izwan Mohd Ali ialah pelajar Ijazah Sarjana Sains Falsafah dan Pengajian Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-Majalah Dakwah

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *