Oleh MOHD SHUKRI HANAPI
Masyarakat Melayu dikenali sebagai sebuah masyarakat yang penuh dengan adat sopan, berbudi bahasa, saling hormat-menghormati, dan kuat ikatan persaudaraannya. Hal ini telah digambarkan dengan pelbagai ungkapan, pepatah, perumpamaan, pantun dan syair Melayu yang menyiratkan norma sopan-santun dan tata pergaulan orang Melayu.
Sebenarnya, kesopanan, kesantunan dan ikatan persaudaraan inilah yang menjadi kunci kejayaan bangsa Melayu pada suatu ketika dahulu sehinggakan mereka telah berjaya menghadiahkan diri sendiri dengan negara yang berdaulat, merdeka dan menjadi pemerintah di bumi sendiri. Mereka juga tidak terpengaruh dengan fitnah penjajah yang banyak membawa persepsi serong khususnya terhadap sejarah tanah air.
Apabila adat kesopanan, kesantunan dan ikatan persaudaraan masyarakat Melayu ini mulai longgar, maka identiti mereka pun turut berubah. Kalau dahulu segala unsur negatif dapat diketepikan dengan mudah dan setiap anggota masyarakat saling mempertahankan maruah antara satu sama lain, namun sekarang amat sukar untuk berbuat demikian. Pelbagai amalan negatif semakin menular dan merebak dalam masyarakat Melayu, terutamanya jenayah fitnah.
Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan muncul suatu zaman yang ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai-bagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut, dan banyak berlaku jenayah.” (HR Muslim).
Hakikatnya, fitnah adalah suatu jenayah kerana ia suatu rekayasa daripada peristiwa yang tidak benar. Tujuannya pula adalah untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang. Dalam perkataan lain, fitnah merupakan suatu perbuatan sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang dan memalsukan kebaikannya sehingga mengundang persepsi buruk masyarakat terhadapnya.
Dalam Islam, fitnah adalah salah satu daripada sifat terkeji dan amat dilarang oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…” (al-Baqarah:191). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina; yang banyak mencela; yang gemar menyebarkan fitnah” (al-Qalam: 10-11).
Jenayah fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat Melayu pada ketika ini bukanlah suatu gejala baru. Ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, malah yang menjadi mangsa fitnah itu adalah isteri Baginda sendiri, iaitu Saidatina Aishah RA. Peristiwa ini lebih dikenali sebagai Kisah Ifki (tuduhan jahat). Dalam peristiwa yang direkayasa oleh kaum munafik itu, Saidatina Aishah RA telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Safwan bin Mu‘attal.
Dalam kes ini, selain Saidatina Aishah RA sendiri sebagai mangsa fitnah yang terpaksa menanggung malu dan derita, Baginda Rasulullah SAW sebagai suami turut menanggung aib dan malu di hadapan masyarakat awam. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan baginda tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam sambil berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk bagi menangani aib itu. Keadaan itu kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT ayat 11-19 daripada Surah al-Nur.
Pengaruh Teknologi dan Media Sosial
Meskipun jenayah fitnah itu dikatakan suatu gejala yang tidak asing daripada kehidupan manusia dan berlaku di mana-mana tanpa mengira batasan masa, namun situasinya agak berbeza. Pada suatu ketika dahulu, setiap fitnah yang berlaku itu mudah disekat dan agak lambat untuk disebarkan. Hal ini kerana dua faktor utama. Pertama, faktor adat sopan dan ikatan persaudaraan masyarakat Melayu yang kuat menyebabkan segala unsur negatif dapat diketepikan dengan mudah. Mereka saling mempertahankan maruah antara satu sama lain. Kedua, faktor kemudahan teknologi internet dan telekomunikasi yang masih belum wujud lagi pada ketika itu. Segala fitnah tidak dapat disebarkan dengan cepat. Jika berjaya disebarkan pun, ia hanya dalam lingkungan masyarakat setempat dan tidaklah sampai ke serata pelosok dunia. Penyebarannya pula lebih berbentuk verbal dan media cetak yang terhad.
Hal ini amat berbeza dengan situasi fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat Melayu pada ketika ini. Apabila longgarnya adat sopan dan runtuhnya ikatan persaudaraan dalam masyarakat Melayu, maka jenayah fitnah makin menjadi-jadi. Hal ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat dikuasai oleh perasaan tamak, iri hati, dengki, pentingkan diri sendiri, kemarahan yang membuak-buak, lebih mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta dunia melebihi kepentingan agama. Dalam situasi ini, mereka tanpa rasa bersalah sanggup memfitnah saudara seagamanya demi mencapai cita-cita dan matlamat yang diimpikan.
Lebih mendukacitakan lagi jika jenayah fitnah ini turut menular dalam kalangan golongan agamawan. Menabur fitnah terhadap tokoh-tokoh agama yang lain semata-mata kerana tidak sealiran dalam pemikiran dan berbeza fahaman politik. Jika golongan agamawan yang menjadi role model kepada masyarakat pun terlibat dalam penyebaran fitnah, maka siapa lagi yang patut menjadi ikutan dan contoh teladan kepada masyarakat? Tidak keterlaluan jika dikatakan jenayah fitnah dalam masyarakat Melayu makin membarah dan sukar dibendung jika role model mereka pun turut berbuat demikian. Dalam hal ini masyarakat akan terkeliru. Mungkin ada yang mendakwa fitnah itu boleh dilakukan dalam situasi-situasi tertentu terutamanya dalam menentang kezaliman dan kemungkaran. Segala hujah yang terkeluar dari mulut agamawan dalam melakukan fitnah itu akan dijadikan sandaran oleh masyarakat awam yang cetek ilmu agama.
Selain longgarnya adat sopan dan runtuhnya ikatan persaudaraan dalam masyarakat Melayu kini, kecanggihan sistem teknologi internet dan telekomunikasi membolehkan sesuatu fitnah itu disebarkan dengan cepat dan pantas ke seluruh pelosok dunia. Kewujudan media-media sosial seperti Facebook, Twittter, Instagram, web, blog dan sebagainya lebih memudahkan pemfitnah untuk menyebarkan sesuatu fitnah.
Jenayah fitnah yang berlaku dalam masyarakat Melayu sekarang ini wujud dalam pelbagai bentuk. Ia bukan sahaja wujud dalam bentuk percakapan dari satu pihak ke satu pihak, surat layang dan media bercetak, malah ia berlaku dalam bentuk penyiaran radio dan televisyen, penulisan laman web atau blog, sistem perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) melalui laman-laman sosial, video yang dimanipulasikan, dan foto yang ditokok tambah dengan menggunakan teknik super impose (teknik tindihan). Kadang kala sesuatu fitnah itu mudah dipercayai apabila video-video atau foto-foto yang dimanipulasikan itu nampak asli. Hanya orang yang benar-benar pakar dapat menilai sama ada ia asli atau palsu.
Disebabkan terlalu banyak perkara palsu dan pembohongan dalam fitnah itu, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan identitinya supaya tidak dapat dikesan oleh orang lain kerana ia tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatannya itu adalah palsu belaka. Pembuat fitnah akan gagal jika tidak dibantu oleh orang yang menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (HR Bukhari)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah.” (HR al-Tabrani)
Bahaya Jenayah Fitnah
Fitnah-memfitnah memang menjadi lumrah kehidupan masyarakat Melayu pada ketika ini. Jika tidak dihentikan dengan segera, ia boleh mengundang kehancuran kerana implikasi fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh (al-Baqarah: 191). Jika membunuh hanya melibatkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah itu boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam jangka masa yang panjang yang sukar disekat. Hal ini kerana orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya. Apabila tahap kesabarannya telah mula hilang, ia akan menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, Allah SWT melarang keras perbuatan fitnah memfitnah ini.
Ada diceritakan kononnya pada zaman dahulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh sebab lelaki tersebut menganggap memfitnah itu sesuatu perkara yang ringan dan remeh, maka ia telah bersetuju membeli hamba lelaki itu. Setelah agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mula merekayasa cerita dengan berkata kepada isteri majikannya bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu pun mencadangkan supaya isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu dengan mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya. Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam agar tidak terasa sakit sewaktu suaminya tidur. Oleh sebab si isteri ini benar-benar percaya lantas ia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.
Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata: “Isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur. Oleh itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan tuan berpura-pura tidur.” Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam. Ketika si isteri memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Maka pada keesokan harinya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian tersebut dengan berbunuh-bunuhan antara kedua-dua belah pihak.
Kisah ini memberi dua pengajaran penting. Pertama, jenayah fitnah yang sedang membarah dalam masyarakat Melayu pada ketika ini tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh, kerana ia boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat. Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita yang disampaikan oleh seseorang (al-Hujurat: 6). Hal ini semata-mata untuk mengelak daripada terlalu tergesa-gesa dalam membuat sesuatu keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita yang disebarkan. Ia boleh menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Sedangkan si fitnah pula disanjung. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.
Bagi membuktikan lagi betapa bahayanya jenayah fitnah itu, kematian Saidina Usman bin Affan RA adalah berpunca daripada fitnah disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama. Peristiwa itu membawa kepada beberapa siri peperangan sesama umat Islam pada zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib RA. Bukan setakat itu, malah kejatuhan empayar dan pemerintahan Islam adalah berpunca daripada jenayah fitnah. Misalnya, akibat fitnah kekuatan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah runtuh.
Hakikat ini memberi gambaran bahayanya jenayah fitnah. Malangnya, jenayah fitnah masih berleluasa dalam masyarakat Melayu. Lebih menyedihkan apabila orang yang memfitnah diberi perhatian, sementara yang difitnah pula mendapat kutukan. Kebelakangan ini, jenayah fitnah dilihat seperti ‘dihalalkan’ sebagai cara untuk mengalih perhatian pihak tertentu daripada sesuatu isu dan perkara yang sedang menjadi perbualan ramai.
Jenayah fitnah menyebabkan penderitaan kepada banyak pihak dan mungkin mencetuskan peperangan yang menyebabkan puluhan nyawa terkorban. Umat Islam patut mengambil pengajaran daripada kesan buruk yang berlaku disebabkan jenayah fitnah. Sejarah yang sama boleh berulang. Bangsa yang lupa pada sejarah akan mengulangi kesalahan yang sama. Perkara ini perlu diberi perhatian, tambahan pula pada masa kini wujud pelbagai kaedah penyebaran maklumat yang memudahkan sesuatu fitnah tersebar luas.
Secara lebih spesifik, jenayah fitnah dapat memberi kesan yang pelbagai. Pertama, fitnah terhadap ahli keluarga sendiri seperti anak memfitnah ibu bapa, ibu saudara memfitnah anak saudara, mertua memfitnah besan, sepupu dan biras. Pada suatu ketika dahulu, fitnah terhadap ahli keluarga ini tidak banyak berlaku, namun ia sering didengari pada masa kini. Terdapat beberapa sebab fitnah dalam kalangan ahli keluarga ini terjadi, antaranya seperti perbezaan kedudukan kekeluargaan, dan sikap bongkak serta menunjuk-nunjuk sehingga mengundang kebencian orang lain. Sikap fitnah ini boleh mengundang keruntuhan rumah tangga, kerenggangan hubungan kekeluargaan, saling tidak percaya-mempercayai, ungkit-mengungkit dan seterusnya membawa khabar dan cerita yang tidak berkesudahan. Jelasnya, ia akan menghancurkan institusi kekeluargaan itu.
Kedua, fitnah terhadap masyarakat. Ia boleh berlaku dalam konteks bangsa dan agama. Perselisihan faham dan salah tanggapan boleh meruntuhkan institusi sosial. Sebagai contoh, apabila Islam dilabel sebagai agama keganasan, ia adalah satu fitnah kerana hakikatnya Islam bukanlah sedemikian. Tuduhan terhadap Islam tidak boleh didasarkan kepada umat, sebaliknya ia perlu dilihat kepada sistem itu sendiri. Kewujudan fenomena Islamofobia adalah kesan fitnah kepada masyarakat Islam. Kesannya, Islam telah dipandang serong oleh masyarakat umum sehingga berlaku kekecohan dan peperangan. Sebenarnya ini adalah sikap salah faham yang perlu dibendung agar tidak menjadi barah dalam masyarakat. Begitu juga kepercayaan lain, penghormatan tetap perlu diberikan tanpa ada rasa prejudis atas asas kemanusiaan.
Dalam konteks bangsa, pertelingkahan yang berlaku kadangkala wujud disebabkan unsur-unsur fitnah dan tuduh-menuduh tanpa usul periksa. Kesannya, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan. Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah.
Ketiga, fitnah terhadap pemimpin. Rata-rata fitnah terhadap pemimpin berpunca dari sumber maklumat yang diperoleh. Biasanya fitnah terhadap pemimpin ini timbul kerana perbezaan fahaman sehingga kita melabelkan seseorang dengan perkara yang tidak sepatutnya. Namun begitu, tidak dinafikan juga terdapat segelintir pemimpin dalam organisasi-organisasi tertentu yang sengaja membiarkan atau mendedahkan diri kepada fitnah oleh para pekerja sendiri atau orang ramai. Hakikatnya, tindakan seorang pemimpin mestilah mencapai tahap hikmah agar persepsi terhadap tindakan yang dilakukan sentiasa positif.
Fitnah terhadap pemimpin ini biasanya terkait dengan soal amanah, tanggungjawab atau pun masalah-masalah peribadi yang terbawa-bawa ke dalam organisasi. Kesannya, nama organisasi akan dipandang serong oleh pesaing, sehingga boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat. Masing-masing cuba menjatuhkan lawan di samping tuduh-menuduh ke tahap sangat mendukacitakan. Secara makro, ia akan membantutkan perkembangan organisasi sehingga visi dan misi organisasi berubah ke arah perkara yang negatif.
Bagaimana Mencegah Fitnah?
Demikianlah realiti jenayah fitnah yang memberi kesan negatif yang sangat besar kepada semua pihak. Ia boleh menjadi warisan sesebuah keturunan dan kekal selama-lamanya sekalipun kes itu berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu. Benarlah jenayah fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Pembunuhan hanya melibatkan seorang atau sekelompok sahaja, tetapi fitnah boleh melibatkan semua orang sehingga berkurun-kurun lamanya.
Bagi menghadapi jenayah fitnah yang membarah ini, terdapat beberapa tips yang dikemukakan oleh ulama besar, Abu Laith al-Samarqandiy. Pertama, jangan mudah percaya segala fitnah yang disebarkan kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya; kedua, mencegah fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib; ketiga, harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa; keempat, jangan bersangka jahat terhadap orang yang difitnah, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram; kelima, jangan selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah SWT melarang menyelidiki kejahatan orang; dan yang keenam, jika tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka janganlah memberitahu sesiapun segala fitnah yang disebarkan itu.
Justeru, kita juga seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah tersebut, jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa-bangsa lain.
Jika dibiarkan jenayah fitnah menguasai jiwa, ia akan terus melekat di hati seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Hati yang dihinggapi oleh fitnah akan menumbuhkan padanya bintik-bintik hitam, manakala hati yang tidak dihinggapinya, akan menumbuhkan padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran. Segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (HR Muslim)
Sebenarnya ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia itu dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat. Diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: “Saidina Umar al-Khattab RA pernah bertanya kepadaku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan tentang fitnah? Para Sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Saidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Saidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan zakat.” (HR Muslim)
Hakikatnya, jenayah fitnah ini memberi kesan yang sangat negatif kepada semua pihak. Ia boleh mencetuskan huru-hara, kebencian, pergaduhan, dan pertelingkahan yang berpanjangan. Justeru, untuk membina sebuah masyarakat Melayu yang harmoni dan aman damai, jenayah fitnah ini hendaklah dibendung dan dihentikan dengan segera. Bagi membendung dan menyekat jenayah fitnah ini pula, tanggungjawabnya bukan sahaja terletak di bahu pemerintah, malah semua anggota masyarakat wajib memikulnya. Dalam hal ini, golongan agamawan patut berada di barisan hadapan dengan memberikan contoh terbaik kepada masyarakat.
KOMEN