Oleh : Wan Roslili Abd. Majid
PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
“TIADA sesiapa yang mahu mendengar kisah di sebalik perkahwinan homoseksual. Aspek yang tidak diberi perhatian adalah anak-anak dalam perkahwinan itu tidak membesar dengan gembira, malah membesar berasaskan penentangan terhadap struktur sebenar sesebuah keluarga.
“Saya tidak memahami bagaimana masyarakat begitu keras menolak konsep semula jadi yang diterima dalam struktur keluarga lain.” Demikian luahan Millie Fontana, 25, berhubung pengalaman pahit dilaluinya sebagai anak yang lahir melalui pendermaan sperma dan dibesarkan oleh pasangan lesbian.
Pendedahan tentang kesan negatif perkahwinan homoseksual terhadap emosi, sahsiah, dan keselamatan diri anak-anak juga dapat dilihat melalui tulisan Dawn Stefanowicz bertajuk Out from Under.
Stefanowicz menggambarkan penderitaan hidup di sisi seorang bapa yang sering bertukar-tukar pasangan sejenis. Selain masalah pergaulan dengan rakan sebaya dan persekitaran rumah yang tidak membahagiakan, beliau dan saudara lelakinya juga terlibat dalam keganasan dilakukan pasangan seksual bapanya yang tidak terhitung.
Stefanowicz juga menyaksikan bagaimana bapanya berhadapan dengan masalah kemurungan dan cubaan membunuh diri, suatu kelaziman bagi individu homoseksual.
Menurut Stefanowicz lagi, bapanya tidak pernah mengutamakan kesihatan dirinya dan terus-menerus membiarkan diri terperangkap dalam gejolak nafsu buas. Akhirnya bapanya itu menemui ajal melalui AIDS, meninggalkan mereka dalam lubuk penderitaan berpanjangan.
Sanggahan syarak terhadap perkahwinan homoseksual ternyata melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Perkahwinan antara Nabi Adam a.s. dengan Hawa a.s. sebagaimana dikisahkan al-Quran membuktikan bahawa pasangan selama-lamanya sah dan menurut fitrah sebenar adalah yang berbeza jantina. Malah, itulah bentuk perkahwinan sejati dan mesti dipertahankan selama-lamanya.
Perbezaan yang dimiliki antara lelaki dengan wanita hakikatnya bertujuan untuk mereka saling melengkapi serta menguatkan. Dan bukan pula untuk mereka saling bersaing sesama sendiri. Al-Quran turut menegaskan hikmah perkahwinan disyariatkan iaitu memberikan ketenangan jiwa (sakinah), menyemai kasih sayang (mawaddah) serta belas kasihan (rahmah) (surah al-Rum 30: 21).
Perkahwinan juga bertujuan memenuhi keperluan fitrah manusia dan memelihara kesempurnaan serta kesejahteraan keturunan yang merupakan salah satu prinsip maqasid syariah.
Peredaran masa dan perkembangan zaman menunjukkan tanggungjawab keibubapaan sentiasa sahaja mendepani cabaran getir. Justeru, ibu bapa zaman kini perlu sentiasa peka dan bersedia dengan cabaran semasa khususnya berkaitan ancaman terhadap institusi kekeluargaan.
Antaranya termasuklah pentakrifan semula maksud perkahwinan yang menyaksikan ia tidak lagi dihadkan hanya antara pasangan berbeza jantina dan desakan pengiktirafan bagi perkahwinan homoseksual serta hak untuk mengambil anak angkat.
Perkembangan ini kelihatannya bukan sahaja melibatkan negara-negara di dunia antarabangsa tetapi juga meliputi rantau Asia Tenggara. Di Singapura, sebuah mahkamah republik berkenaan Disember lalu menolak permohonan seorang doktor gay untuk mengambil ‘anaknya’ yang lahir melalui kaedah ibu tumpang di Amerika Syarikat.
Ancaman semasa lain yang lebih membimbangkan ialah penolakan segelintir umat Islam sendiri terhadap pentafsiran ayat-ayat al-Quran oleh mufassirin terdahulu. Penolakan tersebut seterusnya disusuli tindakan mentafsirkan semula konsep perkahwinan dalam al-Quran bagi mewajarkan atau menghalalkan perlakuan serta perkahwinan homoseksual.
Di negara ini, sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan, data pada 2016 menunjukkan bahawa hubungan homoseksual direkodkan sebagai penyumbang utama bagi kes-kes jangkitan HIV terbaharu.
Terdapat sejumlah 1,553 kes HIV baharu dalam kalangan homoseksual dan biseksual berbanding dengan 1,311 melibatkan heteroseksual. Empat puluh peratus golongan homoseksual dan biseksual yang dijangkiti virus HIV adalah dalam lingkungan usia 19 hingga 29 tahun dan kebanyakannya adalah pelajar.
Sejumlah 31 peratus pula dalam lingkungan usia 30 hingga 39 tahun yang merupakan golongan profesional. Menyedari kemudaratan yang diakibatkan oleh perkembangan ini terhadap institusi kekeluargaan khususnya, maka segenap pihak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, perlu menggembleng usaha menanganinya secara berkesan.
Langkah strategik diambil dan diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membentuk Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta program intervensi kerohanian (mukhayyam) selain usaha-usaha terpuji pihak-pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan diharap berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.
Dalam hubungan ini, keperluan spiritual yang membentuk hak keagamaan golongan LGBT tidak harus sama sekali dinafikan atau diberikan bantahan.
Desakan dan tekanan yang diberikan terhadap kepimpinan negara termasuk oleh pejuang hak LGBT di negara ini bagi memenuhi tuntutan tidak berasas golongan berkenaan perlu ditangani dengan menegaskan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Perkara ini jelas ditegaskan melalui Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. – UTUSAN
KOMEN