BANGI – Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akui pengaruh digital yang ketika ini merupakan satu trend adalah antara cabaran dihadapi Putrajaya dalam menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Mahathir berkata, berbeza dengan dahulu, arus digital kini begitu banyak bahan bacaan boleh diperoleh tanpa sekatan, hingga menjadi gelanggang untuk menyebarkan berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat.
“Di sinilah letaknya cabaran pembacaan, untuk membezakan yang benar dan palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan,” katanya semasa melancarkan program Dekad Membaca Kebangsaan, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Pada Jan lepas, Mahathir berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu serta fitnah, berhubung koronavirus (Covid-19).
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak-ansur terhadap penyebaran berita palsu, penipuan maklumat dan fitnah yang menyebabkan kekecohan awam rentetan penyebaran berita tidak benar mengenai wabak berkenaan.
Mahathir juga berkata, kebebasan media kekal di negara ini, tetapi tindakan mengganggu orang lain dengan melaga-melagakan satu kaum dengan kaum yang lain tidak boleh diterima dan wajar dikenakan tindakan.
Sehingga kini, beberapa individu sudah ditahan dan diambil keterangan kerana didakwa menyebarkan berita palsu, termasuk seorang wartawan yang mengeluarkan kenyataan di laman Facebook miliknya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN