Home » Langit Terbuka » Azan bergema dari menara masjid yang rosak

Azan bergema dari menara masjid yang rosak

ANTARA masjid yang musnah susulan serangan udara Israel di Khan Younis, Gaza. FOTO Reuters

Khan Younis, Gaza: Sambil mengimbangkan badan pada papan konkrit retak yang curam dengan batang logam berpintal mencucuk keluar dan sisa-sisa kubah condong pada sudut 45 darjah di belakangnya, seorang muazin muda berkopiah melaungkan azan memanggil umat Islam untuk solat, dari atas sisa runtuhan masjid yang dibom di Gaza.

Menara di mana muazin itu berada biasanya tegak, tetapi ia kelihatan tidak stabil dengan serambi di bahagian atas dan bawahnya terletak di atas runtuhan Masjid Al-Touba di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

Masjid itu adalah satu daripada banyak masjid di Gaza yang rosak atau musnah akibat serangan Israel.

Israel menuduh kumpulan Islam menggunakan masjid untuk menyembunyikan syaf terowong, tapak pelancaran peluru berpandu dan roket serta infrastruktur lain.

Hamas menafikan tuduhan itu dan mendakwa Israel sengaja menyasarkan tempat ibadat termasuk masjid dan gereja serta membuat tuduhan palsu itu bertujuan ‘membenarkan’ kezaliman yang menyebabkan kematian orang awam.

Rakaman dron di atas tiga masjid di Khan Younis yang dirakamkan oleh Reuters pada Rabu lalu iaitu hari keenam gencatan senjata, jelas menunjukkan tahap kemusnahan bangunan keagamaan.

Di Masjid Al-Touba, kubah yang pernah tersergam di atas masjid bertingkat itu, hilang sepenuhnya. Satu-satunya bahagian yang masih boleh dikenali ialah tapaknya yang berbentuk bulat, condong ke sisi atas bumbung runtuh tempat muazin berdiri.

Di Masjid Al-Ansari di bahagian lain bandar, timbunan sejadah berdebu dapat dilihat di dalam bilik yang dipenuhi dengan simen – apa yang kelihatan seperti kerikil.

Jubin dengan tulisan Arab dan pagar logam berpintal kelihatan di celah antara siling yang runtuh dan dinding senget.

Kedua-dua masjid terletak di kawasan kediaman yang padat dengan apa yang kelihatan seperti blok pangsapuri bersebelahan masjid itu.

Di masjid ketiga, Masjid Al-Ameen Mohammed, sebahagian daripada kubah kuning masih ada, tetapi dengan kerosakan besar di bahagian atas. Struktur itu juga condong pada sudut yang curam kerana satu sisi bangunan di bawah, runtuh.

Di sebelah masjid itu, terdapat kawasan berpasir yang luas di mana sebuah kawasan kem dengan khemah didirikan untuk orang yang berpindah dari kediaman masing-masing. Di luar kawasan itu pula, blok pangsapuri dan Laut Mediterranean.

Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Semenanjung Gaza yang padat penduduk dan sudah membunuh lebih 15,000 orang, 40 peratus daripadanya kanak-kanak, menurut pegawai kesihatan Palestin. Seramai 6,500 lagi hilang manakala ramai yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

Dua pertiga daripada penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya berlindung di Khan Younis dan kawasan selatan lain selepas Israel mengarahkan pemindahan sepenuhnya di satu bahagian di enklaf itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyifatkan keadaan di Gaza sebagai malapetaka kemanusiaan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *