BATU PAHAT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyumbangkan dana RM160,000 bagi membiayai kos pembedahan hati Nur Sumayyah Mohd Hafiz, sembilan bulan, di Hospital Renji, Shanghai, China, April depan.
Nur Sumayyah adalah anak bongsu anggota Rejimen Askar Diraja (RAD) Kem Mahkota, Kluang, Mohd Hafiz Hashim yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun dengan Kor Agama ATM (KAGAT).
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata sumbangan diperoleh daripada warga ATM dan orang ramai, diharap bukan sahaja meringankan beban tetapi yang lebih penting, membantu usaha memulihkan bayi berkenaan.
“Saya harap bantuan ini dapat disempurnakan segera dan adik Nur Sumayyah pulih seperti anak-anak lain nanti.
“Ini satu daripada pendekatan saya dan ingin diuar-uarkan sentiasa oleh Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) yang amat prihatin terhadap kebajikan warga tentera dalam apa jua bentuk,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, KAGAT akan mengadakan satu majlis doa selamat sempena pemergian keluarga berkenaan ke China.
“Kita menganggap bayi itu ibarat anak angkat yang akan dipantau secara peribadi dari semasa ke semasa.
“Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar serta sempurna, dan adik Nur Sumayyah akan menjadi seorang anak sihat, malah mungkin suatu masa nanti mewakili negara dalam bidang sukan dan sebagainya yang menaikkan imej negara,” katanya.
Beliau berkata, Mohd Hafiz akan menyumbangkan kira-kira 20 peratus hatinya berikutan hasil pemeriksaan lanjut mendapati ia sesuai dengan Nur Sumayyah.
Sementara itu, Mohd Hafiz mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan memohon didoakan agar usaha keluarganya dipermudahkan dalam urusan pembedahan yang dijangka pada awal April depan.
“Saya yakin dengan usaha ini, segala amal kebaikan anak saya nanti seperti solat dan puasanya akan mengalirkan pahala berterusan untuk kita semua, insya-Allah,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan kisah Nur Sumayyah mengalami kegagalan fungsi hati dan disaran oleh pakar perubatan untuk menjalani pembedahan di Shanghai dengan kos mencecah RM300,000. – BERITA HARIAN
KOMEN