KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia dalam proses mengkaji dan mengenalpasti sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan negara membabitkan teknologi generasi kelima (5G) yang dipelopori China.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata hasil kajian itu kemudian akan diserahkan kepada kerajaan.
“Kita perlu lihat semua teknologi yang masuk ke Malaysia, kita jangan mudah ikut negara lain dan kajian perlu dibuat untuk lihat kesesuaian dengan negara kita.
“Tidak semua teknologi bagus, kita tidak mahu apa yang dipanggil sebagai ‘destructive technology’ berlaku pada kita, kita yakin Kementerian Komunikasi sedang laksanakan kajian dan kita juga buat kajian ikut cara kita.
“Kita akan memberikan pandangan kepada kerajaan mengenai perkara itu dalam masa terdekat, proses sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Persatuan Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak, di sini.
Majlis dihadiri lebih 2000 alumni terdiri daripada pelajar yang menamatkan pengajian di UPNM sejak penubuhannya pada 2006 dan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) sejak penubuhannya pada 1995.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam menangani teknologi baharu adalah penggunaannya dalam sebarang unsur serangan siber dan mengumpul maklumat yang sensitif.
“Kita lihat dari segi berlakunya serangan siber, perisikan siber yang dilakukan, ia mudah dilakukan dengan adanya teknologi tertentu. Maka untuk menghalang ancaman, kita perlu ada langkah pencegahan yang bersesuaian untuk diambil oleh negara,” katanya.
Selalu lalu, BH melaporkan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, berpandangan Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi 5G dipelopori China yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Barat ketika ini.
Beliau berkata, wujud alasan yang kukuh untuk ‘takut’ dengan teknologi 5G itu, yang dikhuatiri menjadi instrumen kegiatan pengintipan siber oleh China.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji sama ada Huawei perlu dihalang daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan dakwaan kegiatan pengintipan siber dilakukan syarikat telekomunikasi gergasi China itu. – Berita Harian
KOMEN