Home » Langit Terbuka » Atasi konflik bidang kuasa mahkamah syariah, sivil

Atasi konflik bidang kuasa mahkamah syariah, sivil

Musa Awang

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang oleh Pejabat Peguam Negara perlu mengambil pandangan daripada pelbagai pihak termasuk persatuan peguam dan mufti bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pihaknya menyokong penuh penubuhan bahagian itu yang dilihat mampu mengatasi konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, penubuhan bahagian itu adalah penting serta tepat pada masanya, malah, ia seharusnya sudah lama dilaksanakan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan bahagian itu perlu membabitkan pandangan pelbagai pihak terutama apabila tercetus isu berkaitan antara agama.

“Bagi memastikan keberkesanannya, Pejabat Peguam Negara perlu mendapatkan pembabitan daripada mufti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi Islam serta persatuan peguam,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu Pengasas Gabungan Peguam Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias, berkata pihaknya menyambut baik penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang dan dilihat mampu memberi kesan positif dalam menangangi isu konflik antara agama.

Bagaimanapun beliau berkata, penubuhan bahagian itu perlu diteliti dengan lebih mendalam terutama membabitkan mekanisme pelaksanaannya.

“Seharusnya dari dahulu, konflik membabitkan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil perlu mempunyai landasan untuk diselesaikan,” katanya.

Pejabat Peguam Negara dalam kenyataannya, semalam, berkata berdasarkan Fasal (2) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai sebarang perkara undang-undang.

Sehubungan itu, Pejabat Peguam Negara menubuhkan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang bagi menangani isu berkaitan agama Islam dan perundangan syariah yang berbangkit di peringkat Persekutuan dan antarabangsa.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah usia kepada Islam. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *