PETALING JAYA – Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mahu kerajaan bertindak tegas terhadap rumah ibadah yang dibina tanpa mengikut peraturan atau secara haram, ketika negara digemparkan dengan keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi tadi.
“Apatah lagi yang dibina secara haram atas tanah yang bukan milik penganut agama berkenaan,” kata mufti Perlis di Facebook.
Beliau juga mempersoalkan mengapa pampasan dan tanah dituntut apabila binaan-binaan bermasalah itu diminta berpindah.
“Mudahnya mendapat tanah pampasan kerajaan. Itupun ada yang mendakwa kononnya tertindas dan dipaksa tukar agama,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan menegaskan dan menegakkan peraturan-peraturan yang berkenaan, kerana undang-undang tidak membenarkan mana-mana orang membina rumah ibadah “di mana dia suka”.
“Apatah lagi kadang-kadang jumlah rumah ibadah itu tidak seimbang dengan taburan penganut,” katanya.
Asri berkata kerajaan perlu membetulkan kesalahan lepas dengan menegakkan undang-undang yang sepatutnya “sebelum keadaan yang lebih tidak aman berlaku”.
Polis mengerahkan elemen, termasuk Unit Simpanan Persekutuan, ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan susulan pergaduhan melibatkan 2 kumpulan pada 2.00 pagi hari ini, yang berpunca daripada salah faham berhubung penempatan semula kuil itu.
Kekecohan itu menyaksikan 18 kereta dan 2 motosikal dibakar. Polis mengumumkan setakat ini 7 orang sudah ditahan. – FreeMalaysiaToday
KOMEN