Home » Langit Terbuka » AS tawar pasaran fesyen patuh syariah

AS tawar pasaran fesyen patuh syariah

Fesyen islamik semakin mendapat perhatian di negara-negara Barat. (gambar hiasan) Foto : Mess Magazine

AMERIKA Syarikat (AS) menawarkan segmen pasaran yang khusus kepada pereka fesyen Malaysia untuk memanfaatkan produk patuh syariah mereka.

Susulan peningkatan jumlah golongan wanita muda Islam yang berpendidikan dan peka kepada fesyen di AS, pereka fesyen dari Malaysia, Turki, Indonesia, India dan negara-negara lain telah meneroka peluang perniagaan di sana.

Tahun lalu, pereka fesyen wanita dari Malaysia, di bawah naungan Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati), mengambil bahagian dalam minggu fesyen New York Couture Fashion Week di New York.

Sara Jamaludin, Eja Shahril dan Erma Fatima mendapat penghargaan daripada penonton bagi koleksi busana anggun bercirikan Islam mereka.

Menurut pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di New York, delegasi yang sama dijangka mengunjungi New York lewat musim panas dan awal musim luruh tahun ini. Semasa acara minggu fesyen itu, Sara Jamaludin dari Kuala Lumpur memperagakan reka bentuk berasaskan songketnya, Eja Shahril dari Pulau Pinang menampilkan reka bentuk hijab dan jubah, manakala Erma Fatima, yang menguruskan Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd mempamerkan koleksi “Mak Cun” beliau, reka bentuk kontemporari tradisional.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di New York, Muhd Shahrulmiza Zakaria berkata, bilangan pereka fesyen dan usahawan Malaysia yang memanfaatkan industri ini semakin meningkat sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap hijab dan pakaian fesyen bercirikan Islam lain.

“Produk-produk ini dipasarkan menerusi pertunjukan fesyen untuk menarik lebih ramai pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Menurut kajian Pew Research, dengan jumlah  penduduk Islam di seluruh dunia dijangka mencecah 2.76 bilion menjelang 2050, menyumbang 29.7 peratus daripada penduduk dunia, syarikat-syarikat besar telah mula memberikan tumpuan kepada pasaran yang sedang meningkat itu.

Selain Macy’s, satu daripada gedung terkemuka di AS, syarikat-syarikat lain juga semakin memberi perhatian kepada fesyen bercirikan Islam, dengan Nike buat pertama kalinya menawarkan Nike Pro Hijab bagi atlit.

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *