WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menarik balik larangan terhadap pelarian dari 11 negara ‘berisiko tinggi’ yang berhasrat masuk ke negara itu.
Bagaimanapun pemeriksaan lebih ketat dikenakan terhadap mereka berbanding sebelum ini.
Pemohon dari 11 negara yang tidak didedahkan itu, difahamkan 10 negara majoriti penduduk Islam termasuk Korea Utara bakal menjalani pemeriksaan ‘berisiko’ sebelum diterima.
“Adalah sangat penting untuk kami mengetahui siapa yang masuk ke Amerika Syarikat,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kirstjen Nielsen.
Katanya pemeriksaan tambahan keselamatan akan menyukarkan penjahat untuk menyalahgunakan program pelarian dan mereka akan memastikan pendekatan lebih berhati-hati digunakan demi melindungi negara.
Semua 11 negara yang mendapat tempias larangan pada Oktober tahun lalu, susulan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump meminda dasar pelarian masih belum dikenal pasti secara rasmi.
Menurut kumpulan pelarian, 11 negara itu terdiri daripada Mesir, Iran, Iraq, Libya, Mali, Korea Utara, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria dan Yaman. – AFP
KOMEN