Home » Langit Terbuka » Arab Saudi cadang wujud mekanisme baharu visa umrah

Arab Saudi cadang wujud mekanisme baharu visa umrah

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan akan menerima lebih ramai jemaah umrah dan ia akan diselarikan dengan kuota yang dipersetujui antara banyak negara Islam sebelum penularan pandemik COVID-19. - Foto mStar

RIYADH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bercadang melaksanakan mekanisme baharu untuk pembelian pakej umrah serta mengeluarkan visa masuk bagi mereka yang datang dari luar negara.

 

Saudi Gazette melaporkan, mekanisme itu membolehkan setiap calon jemaah asing mendapat visa umrah tunggal yang dikeluarkan secara dalam talian.

 

Di bawah mekanisme pertama, visa umrah akan dikeluarkan melalui pengendali atau majikan untuk 25 orang atau lebih jemaah umrah.

 

Ia akan dilakukan selepas menandatangani kontrak antara penyedia perkhidmatan umrah antara kerajaan dan ejen pelancongan berlesen mereka di negara masing-masing.

 

Sementara itu, mekanisme kedua adalah berdasarkan urus niaga antara pengendali dan pelanggan di mana seorang jemaah umrah atau sekumpulan kecil jemaah dengan jumlah maksimum sembilan orang dapat masuk terus ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

 

Menerusinya, jemaah boleh berbuat demikian dengan memilih program umrah yang diperlukan melalui portal dalam talian yang diluluskan, menurut laporan Al-Arabiya.

 

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan akan menerima lebih ramai jemaah umrah dan ia akan diselarikan dengan kuota yang dipersetujui antara banyak negara Islam sebelum penularan pandemik COVID-19, lapor media tempatan.

 

Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini menegaskan kesediaannya untuk menerima seberapa ramai jemaah umrah seperti sebelumnya, dengan menyatakan semua persiapan untuk menerima jemaah haji sudah selesai, selain tidak menghadapi kesukaran untuk menerima jemaah haji dari luar negara dalam tempoh kebelakangan ini sejak awal musim umrah yang baharu.

 

“Kementerian mempunyai kemampuan untuk mengendalikan kemasukan jemaah umrah sesuai dengan kuota yang diberikan kepada setiap negara Islam dan kementerian siap menangani jumlah jemaah seperti dalam situasi biasa,” kata Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Amr Al Maddah.

 

Katanya lagi, kementeriannya sedang berusaha untuk menambah baik aplikasi mudah alih Shaaer dan Eatmarna bagi mengendalikan semua perkhidmatan yang disediakan.

 

Ia bagi membolehkan jemaah haji dan umrah memperoleh manfaat daripada kedua aplikasi selain memperluas lagi skop perkhidmatan yang ditawarkan kementerian. – AGENSI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *