RIYADH – Arab Saudi secara berperingkat membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah untuk sepanjang tahun, mulai 4 Oktober selepas tujuh bulan ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19, kata Kementerian Dalam Negerinya, semalam.
Dalam satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang diterbitkan Saudi Press Agency, sebagai permulaan kira-kira 6,000 warga dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan.
Menurut kenyataan sama, jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan ibadat itu, mulai 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.
Umrah merujuk kepada ziarah umat Islam ke Makkah dapat dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun yang menarik berjuta-juta Muslim dari seluruh dunia setiap tahun.
Kata kementerian itu lagi, ibadat itu dibenarkan dilaksanakan semula sepenuhnya selepas ancaman wabak itu sepenuhnya pulih.
Sejak Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan umrah dan mengehadkan kapasiti haji tahunan akibat bimbang penularan COVID-19 ke kota-kota sucinya. – AFP
KOMEN