Kamus-kamus berbahasa Arab banyak menjelaskan tentang makna perkataan ‘Wasatiyyah’. Contohnya, kamus Arabic English Dictionary yang dihimpun dan disusun oleh Maan Z. Madina (Prof. Madya bidang bahasa dan Budaya Arab Timur Tengah di Universiti Columbia), 1973, pada halaman 748-749, menerangkan makna wasata, yasitu (wasita, wast) to be in the middle. Awsat – middle, center, heart, awsat al-nas; middle classes. Wasata, awsat (jamak) median, medial, middle, central, moderate, in the middle, intermediate, average, mean, medium, of medium quality, wasta; in the middle or center of, in the midst of, wasatiy; middle, central intermediate, average, medium. Kelihatan semuanya tidak lari daripada kata kunci, middle atau “pertengahan”. Maksudnya, jika apa pun yang dinisbahkan padanya, ia membawa maksud “pertengahan”, “sederhana”, tidak melampau atau berlebih-lebihan (ghuluw).
Kamus Dewan (edisi keempat: 2005, hal. 1652) menerangkan makna “pertengahan” itu (titik waktu dll) yang di tengah-tengah atau kira-kira di tengah-tengah; setengah atau separuh (melakukan sesuatu); sedang (dia sedang makan sekarang); tidak berapa tinggi dan tidak rendah, sedang, sederhana, (bukit itu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah). Juga ia membawa maksud sama banyak, rata-rata.
Kutipan daripada kamus-kamus di atas, mampu membantu para pembaca memahami makna dan maksud ‘wasatiyyah’ yang menjadi topik perbincangan makalah ini. Ia akan lebih bermakna jika dikaitkan dengan kehidupan manusia dan segala tindakannya. ‘Wasatiyyah’ juga boleh disebutkan sebagai “kesederhanaan” yang mana kedua-dua istilah ini, secara tabiinya menolak dan menafikan makna dan maksud berlebih-lebihan atau ekstrem, iaitu satu perkataan yang agak popular disebut di pelbagai peringkat umur.
Dari sudut sejarah pemikiran, perkataan “pertengahan” ini adalah antara perkataan penting yang utama dari segi tahap kebaikannya (virtue). Aristotle (384-322 SM), iaitu antara tokoh pemikir Greek tersohor, ketika bercakap tentang kebahagiaan mencadangkan seseorang itu supaya mengamalkan formula “pertengahan” ini. Untuk hidup gembira dan bahagia beberapa keutamaan atau kebaikan (virtue-fadilah) perlu dihayati. Umpamanya, keberanian (courageous) diperlukan sebagai “pertengahan” daripada sifat pengecut (cowardice) dan terburu-buru atau berani buta-tuli (rashness). Murah hati (liberality) adalah “pertengahan” antara sikap boros (prodigality) dan cermat/kedekut (frugality). Demikianlah lain-lain misalan yang boleh dipadankan daripada contoh-contoh di atas. Inilah antara asas untuk manusia hidup bahagia, dan ia terkenal dengan sebutan The Doctorine of the Mean atau kadangkala disebut golden-mean. Para pembaca yang menelusuri pemikiran Aristotle akan menjumpai istilah atau konsep ini.
Menyebut perkataan ‘wasatiyyah’ ini, penulis segera teringat kepada tulisan Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi al-Khasais al-Amnah li al-Islam (1977) atau Karektaristik Umum Islam. Dalam buku ini, Dr. Yusof menyenaraikan tujuh karakteristik Islam atau sifat atau tabii agama Islam agar semua orang faham apa dan bagaimana sebenarnya agama Islam ini. Dimulai dengan fasal I: al-Rabba niyyah (ketuhanan) I) Fasal II: al-Insaniyyah (Kemanusiaan; Fasal III: al-Syumul (Kesempurnaan). Fasal IV: al-Wasatiyyah (pertengahan); Fasal V: al-Waqiiyyah (realiti); Fasal VI: al-Wudhuh (mudah/senang), Fasal VII: al-Jam’u bayna al-Thabat wa al-Murunah (Himpunan atau gabungan antara perkara tetap dan berubah).
Prof. Dr. Yusof menjelaskan bahawa “pertengahan” adalah salah satu sifat dan kriteria agama Islam dan juga dikenali sebagai “imbang” atau “berimbang” (al-tawazun), maksudnya ajaran agama ini bersifat ‘pertengahan’ atau “berimbang” antara dua perkara yang bertentangan. Islam memberi perhatian yang adil antara keperluan rohani dan jasmani, individu dan masyarakat, yang realiti dan ideal, yang tetap dan berubah dan lain-lain seumpamanya. Jadi, agama Islam itu tidak berat sebelah, tidak keterlaluan atau terlalu kurang (taqsir). Hasilnya orang Islam yang benar-benar patuh dan menurut tabii ajaran ini kehidupannya baik dan berkualiti.
Ada hubungan yang rapat antara idea “pertengahan” dengan tuntutan kebahagiaan. Semua orang yang normal pemikirannya sentiasa berusaha supaya kehidupannya aman dan bahagia. Perkara ini sudah menjadi matlamat asasi kehidupan tiap manusia. Banyak kerja dan pengorbanan yang dilakukan untuk mendapatkanya. Walaupun wujud tafsiran yang berbeza tentang apakah dia kebahagiaan itu, namun persoalan cara dan kaedah untuk dapat mencapainya ada hubungan dengan idea pertengahan tadi. HAMKA misalnya menulis sebuah buku khas untuk berbicara hal ini. Bukunya Falsafah Hidup (cet.ketiga, Malaysia 1997, memperuntukkan IX bab bagi menjelaskan apakah falsafah hidup manusia yang terbaik dan relevan serta apa yang perlu dilakukan untuk memperolehi kebahagiaan itu.
HAMKA dan Kesederhanaan
Dalam Bab ke-V umpamanya (hal. 47-202), HAMKA membincangkan topik khas, iaitu SEDERHANA (hal. 47-202) dengan membariskan tajuk-tajuk (i) sederhana tentang niat dan tujuan; (ii) sederhana dalam berfikir; (iii) sederhana mengeluarkan perasaan; (iv) sederhana pada keperluan hidup; (v) sederhana pada perasaan sukacita; (iv) sederhana pada harta benda; (vii) sederhana mencari nama; (viii) sederhana memberi pangkat dan (ix) pendidikan kesederhanaan. Maksudnya, pada HAMKA, KESEDERHANAAN adalah antara syarat asas bagi seseorang untuk mencapai kebahagiaan hidup. Semua sembilan sub-topik itu berbicara tentang perlunya seseorang itu percaya dan beramal dengan sifat kesederhanaan. Bagaimanapun, menuntut ilmu dan beribadat tidak termasuk dalam tuntutan sederhana ini. Ibn Sina dahulu pun mengecualikan dua hal ini. Mesej kepada kita ialah tidak melakukan sesuatu secara ekstrem atau berlebih-lebihan. Keterlaluan tidak menyumbang kepada kehidupan yang bahagia, baik ia berupa niat, perasaan, pengumpulan harta benda, mencari populariti atau nama atau pangkat.
Kita ambil sedikit penjelasan beliau tentang “sederhana pada harta anda” (hal. 172-179). HAMKA mengakui bahawa harta itu sangat penting untuk hidup. Semua orang perlu pada harta: “kita berusaha, kita memajukan ekonomi, industri dan perburuhan. Ribut kita keluar dari rumah pagi-pagi, bersilang-siur kenderaan. Motor, keretapi, basikal, kapal dan lain-lain kerana dunia ribut mencari harta.” Untuk mendapatkanya, orang berusaha dengan bermacam-macam jalan dan cara. Ada memilih jalan yang haram dan keji. “Yang lebih hebat lagi ialah orang yang niagakan kehormatan dirinya, memperniagakan ‘malu’nya, kemanusiaannya, tanah airnya, pun bangsanya, agamanya dan kampung halamannya.” Kesalahannya di sini ialah sikap dan pemikiran yang sudah salah “di dunia ini hartalah yang perlu.” Maka, ia akan mengejarnya tanpa mengira moral dan akhlak. “Ada pula ahli-ahli masyarakat yang mengatakan bahawa harta benda itu penting sekali untuk kesempurnaan masyarakat dan pergaulan hidup. Kesusahan-kesusahan boleh dihindarkan dengan harta.” Ini hanyalah sangkaan. Persangkaan itu salah! Kalau perasaan begini tertanam didalam hati sanubari, kalau ini pula yang mengalir di dalam fikiran, “alamatnya dunia akan celaka.” Orang menjadi lupa daratan, banyak penipuan berlaku, tamak haloba, perompakan dan akhirnya kemusnahan. Jadi, dalam pencarian harta itu kita perlu beringat tentang Allah yang menganugerahi segala nikmat dan kita perlu mengusahakannya menurut pertimbangan akhlak dan agama.
Satu perkara lagi yang ada kaitannya dengan pencarian harta ini ialah wang ringgit. Wang ringgit adalah penting. Ini diakui oleh semua orang. Wang lambang dan bukti kejayaan. Dengan wang cakap kita laku. Banyak perkara boleh dilaksanakan. Maka wang dicari sepanjang hayat hingga setengahnya lupa agama, etika, moral dan akhlak. Soal kaedah atau cara tidak difikirkan lagi. Apakah wang itu penentu segala-galanya? Apakah wang punca kebahagiaan hidup? Apakah kita perlu ekstrem mencarinya?
Seorang pemikir, John E. Gibson, dipetik oleh majalah DIAN (Kota Bharu, Ogos 1978), menyebut: “Kajian dan penyiasatan menunjukkan bahawa daripada orang-orang yang menganggap WANG sebagai faktor yang penting untuk kebahagiaan, didapati hanya kebahagiaan kecil sahaja yang menganggap mereka bahagia. Sebaliknya, orang-orang yang menggolongkan mereka berbahagia ialah orang-orang yang menganggap cinta, keluarga, dan kebijaksanaan lebih penting daripada perhitungan wang yang banyak. Kebanyakan orang tidak pernah belajar untuk menyelaraskan hidup dengan pendapatannya, walaupun sebanyak mana wang yang mereka dapati. Mengurus dengan bijaksana wang yang kita peroleh lebih penting kepada ketengangan fikiran kita daripada sebanyak mana wang yang kita peroleh.
Sidney Newton. Bremer, dalam Self Motivating Essays for Students and Adults (Thinker Library Sdn. Bhd., 1989, hal. 72) pula menjelaskan: “Money is good. Too much money is bad. ‘Too much’ is ‘too much’ when it is more than we need more than we are capable of utilizing for the uplifment of humanity. Food is good. Too much food is damaging to the body and punishes the glutton with pain and illness. Light is good but too much will blind the eyes. Water is good. There could be no life for us without it, but too much will destroy us. Heat is good but too much will burn us. Any excess in the use or activity of a good thing is temperance and therefore, evil can be avoided.”. Mesej di sini ialah berpegang dengan sifat sederhana menyenangkan.
Cuba kita lihat pula apa kata tokoh pemikir China tentang pertengahan atau sederhana ini. Confusius menekankan tentang konsep hidup sederhana atau “jalan tengah” sebagai yang terbaik. Dr. Wang Gung Wu (1978: 13) menjelaskan bahawa sikap sederhana ini telah mempengaruhi falsafah dan gaya hidup orang-orang Cina. Dari semenjak zaman purba lagi di dalam kitab-kitab tua yang telah menjadi warisan turun-temurun hingga ke hari ini. Konsep “Chung”, yakni pertengahan telah dipandang sebagai dasar dan panduan bagi perhubungan kesusilaan dan masyarakat. Semua ini terbit dari pandangan yang lebih luas mengenai kemanusiaan (Jen) yang lebih sukar untuk difahami. Dalam amalan sehari-hari bererti bahawa orang China lebih suka kepada cara-cara yang sederhana dan bersabar daripada cara-cara yang melampau dalam penyelesaian masalah-masalah mereka. Cita-cita “Chung” itu telah membuat mereka lebih suka kepada sikap bertolak-ansur dan menuju kepada matlamat tercapainya perseimbangan antara aliran-aliran di dalam negara dan masyarakat. Tidak pernah difikirkan bijak dengan mengambil jalan kekerasan dan tidak juga tentunya mengambil jalan mengalah tanpa ikhtiar yang panjang untuk mendapat sesuatu persetujuan pasti ada suatu “jalan tengah”.
Islam Agama Sederhana
Daripada maklumat falsafah itu, cuba kita bawa topik ini kepada pemikiran Islam pula. Apakah Islam menyetujui kehidupan bersifat pertengahan atau sederhana ini? Pada garis besar Islam itu sendiri memang menjunjung idea pertengahan ini. Dalam mengejar kehidupan dunia ini, Islam melarang umatnya menganut falsafah kapitalis atau komunis dan lain-lain ideologi moden yang jelas mengejar kesenangan duniawi, membuang agama dan akhlak malah membuang Tuhan sama sekali. Kepada mereka, manusialah yang menentukan segala-galanya (man is the measure of all things). Maksudnya, apa pun perkiraan, manusia dan kepentingannyalah yang menjadi kayu ukuran. Kepentingan hidup manusialah yang menjadi penentu dan kata penamat, bukan Tuhan. “Tuhan telah mati”, ujar Nietzche (1844-1900). Perkara ini telah dilestarikan dalam kehidupan masyarakat Amerika dan Eropah. Titik mulanya ialah selepas Renaisance, iaitu abad ke-15. Demikianlah juga komunis di Rusia dan lain-lain sekutunya. Agama itu “candu masyarakat”, justeru ia tidak perlu. Jadi kemajuan dan kehidupan mereka terputus dari bimbingan Tuhan. Ini satu jenis aliran ekstrem. Kita menolak aliran ini. Kita memilih kehidupan berimbang seperti yang disebut oleh Dr. Yusof di atas.
Selain ideologi moden itu, agama selain Islam juga membawa budaya ekstrem, bukan sederhana atau pertengahan. Agama Hindu dan Buddha umpamanya di India, memperjuangkan kehidupan kerohanian melulu, lagi sedikit pergantungan kepada keperihalan duniawi, lagi tinggi martabatnya. Memakai selipar getah atau tidak pakai langsung, lebih baik daripada memakai kasut. Demikianlah pakaian, makanan dan lain-lain unsur-unsur kesenangan duniawi, yang disifatkan antara punca utama kesengsaraan hidup. Oleh hal demikian itu, ia tidak perlu dikejar. Buddha juga memperjuangkan gaya hidup itu seperti yang tergambar daripada kehidupan Gautama Buddha. Maksudnya, agama-agama ini tidak mempedulikan tuntutan kesenangan hidup duniawi ini yang disukai manusia. Apa yang dikejar ialah dunia kerohanian. Kristian dan Yahudi juga membawa gaya hidup serupa. Banyak perkara yang Tuhan halalkan, diharamkan mereka. Tetapi pengikut-pengikut mereka, termasuk tokoh-tokoh utama, sering hipokrit terhadap ajaran agama. Amalan seks tidak sah dan jijik berlaku di serata gereja. Inilah satu bukti ajaran-ajaran itu tidak selari dengan fitrah manusia.
Memang benar bahawa Islam itu rahmatan lil’alamin. Islam menuntut umatnya mengambil kesenangan dunia tanpa melupai kehidupan akhirat atau sebaliknya. Tidak boleh fokus hanya pada satu-satu bahagian sahaja. Cuba kita ambil satu contoh, surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Apabila selesai menunaikan sembahyang, maka pergilah kamu semua bertebaran di bumi dan carilah nikmat-nikmat daripada limpah kurnia Allah dan perbanyakkan sebutan Allah supaya kamu beroleh kejayaan dan keberuntungan.” Kalaulah Islam itu membela kerohanian sahaja, maka sudah tentulah disuruh sembahyang sahaja kemudian berwirid sepanjang masa. Demikianlah juga kalau penekanannya hanyalah kehidupan dunia sahaja, maka dibiarkan manusia menjadi seperti binatang yang hidup hanya untuk memenuhi tuntutan makan dan nafsu. Hakikatnya, disuruh mencari keberuntungan kedua-duanya sekali. Demikian perimbangan (al-tawazun) yang disyariatnya. Ia tidak ekstrem ke kiri atau ekstrem ke kanan, sebaliknya pertengahan. Inilah falsafah hidup Islam yang sangat relavan dengan tabii dan naluri semulajadi manusia.
Sederhana Dalam Politik Malaysia
Dalam amalan politik Malaysia pula masyarakat Malaysia sudah lama menikmati tindakan-tindakan sederhana dan pertengahan ini. Kita tidak mengamal politik menindas non-bumi atau non-Muslim. Orang India dan Cina dan lain-lain etnik yang datang dari negara-negara asing diterima tinggal bermastautin di sini, malah diterima pula sebagai rakyat Malaysia walaupun tidak boleh bertutur Bahasa Melayu atau tahu budaya Melayu. Mereka turut dilibatkan dalam pembentukkan dasar-dasar negara. Barisan kabinet kita adalah campuran pelbagai bangsa dan menganut berbagai agama. Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Negara adalah gabungan kesemua bangsa. Di Dewan Undangan Negeri juga sedemikian. Kekayaan negara pula telah lama dibolot oleh mereka. Nama-nama besar dalam penguasaan ekonomi negara hampir 90 peratus dikuasai mereka dan kita tidak bertindak membakar gedung-gedung perniagaan mereka dan tidak merampas kekayaan mereka walaupun umat Melayu-Islam sendiri majoritinya miskin, tinggal di kampung-kampung tradisional, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita tidak berperangai Yahudi yang setiap masa membunuh orang Palestin atau bertindak seperti pertubuhan Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang sentiasa benci, malah membunuh orang-orang Islam.
Amalan politik kita dari awal lagi amat mengambil berat tentang toleransi, sederhana, timbang-rasa, dan sebagainya. Hasilnya, negara kita aman dan pembangunan negara dalam pelbagai bidang berjalan dengan lancar, hingga rakyat negara-negara ASEAN berpusu-pusu datang mencari rezeki di sini. Perbincangan di atas membuktikan bahawa persoalan sifat dan idea pertengahan atau sederhana ini sudah terbukti diterima oleh pelbagai bangsa. Aristotle telah merumuskanya sebagai salah satu virtue atau fadilah yang sangat penting. Confusius dan HAMKA telah membuat perbincangan yang relatif terperinci tentang hikmat dan kebaikan sikap dan amalan pertengahan. Wang juga perlu tetapi disebutkan ada lagi perkara yang lebih berharga dan perlu dikejar selain wang ringgit. Bermakna, sesiapa yang melampau mengejar kekayaan dan wang ringgit hingga melupai tuntutan-tuntutan yang lain, itu bermakna ia mengejar sesuatu yang akan mengecewakannya. Wang yang banyak bagai banjir atau api yang besar. Sebaliknya, wang yang didapati menurut kelas masing-masing dan berjaya diurus dengan teratur, lebih bermakna dan lebih berfaedah. Inilah antara kenikmatan mengapa Allah s.w.t mencipta agama Islam yang secara tabiinya menjunjung falsafah sederhana ini. Islam tidak membenarkan penganutnya supaya meninggalkan tuntutan hidup yang lazim seperti tidak mahu makan (lebih daripada berpuasa biasa), tidak mahu kahwin, tidak mahu tidur, tidak mahu makan daging (khuatir nafsu kuat) dan lain-lain. Oleh hal demikian itu, di dalam al-Quran (2:143), Allah s.w.t menetapkan idea pertengahan ini: “Demikianlah Kami jadikan kamu umat yang ‘pertengahan’ supaya kamu menjadi saksi atas manusia.”
Persoalannya, mengapa orang boleh terbabas dari landasan yang baik, sederhana dan pertengahan kepada sifat dan sikap keterlaluan, berlebih-lebihan atau ekstrem melampau? Dengan penyelidikan kita boleh memahami punca dan sebab itu, namun begitu melalui pergaulan dan observasi, sedikit sebanyak sebab kepada persoalan itu boleh dikesan. Faktor terbesar ialah “nafsu” yang dibiar tinggi berbanding dengan aspek akal-rasional. Nafsu rendahan (lawwamah) yang ada pada manusia tidak mungkin membawa kepada perlakuan yang baik. Justeru, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa nafsu terhadap kekayaan material di dunia mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai rohaniah. Tuntutlah kekayaan tetapi jangan lupa bahawa kekayaan sahaja tidak akan membawa kepada ketenangan jiwa, kekayaan penting untuk diri sendiri, untuk masyarakat, untuk negara dan untuk agama. Tetapi kekayaan yang dituntut kerana kekayaan seperti terdapat di kalangan masyarakat materialis akan membawa kecelakaan. Demikian rasional yang diberikan oleh Dr. Mahathir Mohamad. Faktor nafsu lawwamah itu perlu dikekang, jika tidak ketenangan jiwa tidak mungkin boleh dicapai. Apakah maknanya jika semua keperluan hidup ada tetapi jiwa tidak tenang!
Apakah faedah sifat pertengahan ini kepada individu? Persoalan ini sangat penting justeru fokusnya kecil iaitu individu manusia, bukan keluarga atau masyarakat. Kalau diatas tadi telah disentuh pemikiran Aristotle, HAMKA, Confusius disokong pula oleh tabii ajaran agama Islam, maka kita lihat memang betul apa yang dirumuskan oleh Aristotle kira-kira 2,500 tahun dahulu, iaitu “pertengahan” atau “sederhana” adalah antara nilai-nilai baik dan utama (virtue-fadilah) yang perlu diberi keutamaan. Jika nilai utama ini sudah menjadi peribadi atau budaya, banyak nilai-nilai negatif yang merosakkan dapat dihindarkan seperti tidak jujur, tidak amanah, tamak haloba, boros, salah guna kuasa, salah guna wang, mementingkan diri sendiri, tidak bertanggungjawab, tidak bersyukur, tidak mahu berterima kasih, rasuah, panas baran, khianat, penipuan, dan sebagainya. Jadi, marilah kita mengamalkan nilai-nilai “pertengahan dan sederhana”, justeru ia membawa kepada kebahagiaan.
PROF. DR IDRIS ZAKARIA
KOMEN