TEHERAN – Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menegaskan Baitulmuqaddis atau turut dikenali sebagai al-Quds adalah milik penduduk dan negara Palestin sambil menekankan Amerika Syarikat (AS) mahupun Israel tiada hak membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
Portal berita Almanar melaporkan, AS tidak boleh menyerahkan Baitulmuqaddis kepada mana-mana pihak dan Israel juga tidak berhak untuk merampas bandar tersebut.
“Baitulmuqaddis secara jelas adalah milik penduduk dan negara Palestin. Sejarah menunjukkan sesiapa yang tidak menolak fakta ini boleh disifatkan sebagai pihak yang gagal. Teheran akan terus menyokong Palestin dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memberi amaran, sekiranya persidangan ekonomi yang dirancang oleh AS yang bakal diadakan di Manama, Bahrain pada hujung bulan depan berlangsung, ini akan menyebabkan ‘kerugian besar-besaran’ kepada penduduk Palestin.
Malah, persidangan itu akan memberi nilai tambah serta faedah yang banyak kepada Israel.
“Keadaan yang semakin teruk di Palestin ketika ini memerlukan semua negara Islam mengukuhkan perpaduan dan integriti bagi menentang rejim Zionis secara habis-habisan.
“Selain itu, negara Islam juga perlu sepenuh hati menentang konspirasi Israel serta penyokongnya dan memastikan tidak terpengaruh untuk membiarkan penduduk Palestin terus ditindas,” jelas kenyataan tersebut. – AFP
KOMEN