PETALING JAYA: Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS) hari ini bersempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 yang dijangka membawa lembaran baharu bukan sahaja untuk masa depan Malaysia tetapi kepada nasib Palestin.
Anwar berkata, ruang ke mesyuarat itu akan digunakan beliau untuk mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin pada saat ini selain meraih dukungan global, memperhebat usaha mempermudah akses dan bantuan kemanusiaan serta penyelesaian yang adil.
Katanya, beliau juga menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi, memantapkan kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua.
“Ia juga merupakan peluang terbaik negara untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai kedudukan ekonomi global semasa dan mendengar serta memberi pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan para pemimpin APEC.
“Selain APEC, saya juga dijadualkan menyampaikan pidato umum berjudul ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific The View from Southeast Asia’ di Universiti California, Berkeley. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik buat negara dan rakyat,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, pesawat membawa Anwar bagi mesyuarat APEC pertamanya sebagai ketua kerajaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, California, pada 9.37 malam (1.37 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang penglibatan Perdana Menteri dengan para pemimpin Ekonomi APEC dan di pelbagai platform pelbagai hala dan dua hala, beliau berhasrat untuk mengetengahkan situasi Palestin untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil
Selain menghadiri Sidang APEC, Perdana Menteri juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023 di samping menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
Antara acara kemuncak dalam rangka lawatan tersebut apabila beliau akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di Universiti California yang menyentuh gambaran keseluruhan keadaan geopolitik dan mengenai demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia.
Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan secara individu dengan pemimpin perniagaan terkemuka AS di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang bertujuan memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi dan akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia selaras dengan strategi dan objektif digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030).
Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin ekonomi APEC bagi meneroka cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama.
APEC 2023 bertemakan ‘Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua’ dijangka menerima pakai Deklarasi Golden Gate 2023 Pemimpin APEC dan memajukan usaha ke arah merealisasikan Visi Putrajaya 2040 APEC.
AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.-UTUSAN
KOMEN