Home » Langit Terbuka » Anwar sampai khutbah Jumaat di masjid New York

Anwar sampai khutbah Jumaat di masjid New York

Foto Bernama
NEW YORK – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), di sini, pada Jumaat ini.
Perdana Menteri merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu yang dibuka pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Agensi berita Bernama melaporkan, Anwar dijangka tiba di New York pada Rabu akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78 yang bermula hari ini hingga 26 September ini di sini.

Pada penampilan pertama beliau di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu, Anwar akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan tindakan yang diambil bagi mencapai Agenda 2030.

“Perdana Menteri juga akan berkongsikan mengenai kerangka Malaysia Madani… amat penting untuk kita memberitahu kepada dunia mengenainya,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ahmad Faisal Muhamad.

Menurut Zambry, Perdana Menteri yang dijadual tiba di sini pada Rabu akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum pada Jumaat.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

Perbahasan Umum yang bermula hari ini hingga 26 September akan menyaksikan pemimpin negara dan kerajaan dari 157 negara serta 35 menteri menyampaikan Kenyataan Negara mereka di ibu pejabat PBB.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all.”

Zambry berkata, kehadiran Perdana Menteri di UNGA dijangka mendapat liputan penting kerana ramai pemimpin negara lain yang ditemui sebelum ini menyatakan bahawa mereka menantikan ucapan Anwar kerana pengalaman dan kepimpinannya.

“Perdana Menteri juga akan bercakap mengenai konflik global termasuk krisis Ukraine serta isu Palestin dan Myanmar yang berlarutan,” katanya.

Anwar juga akan menjadi hos majlis makan malam untuk 1,000 diaspora Malaysia pada Jumaat, kata Zambry, dan menambah terdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia menetap di negara ini. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *