BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta guru dan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mengenai isu Palestin, ketika dunia dilihat sudah hilang tanggungjawab mengenai nilai perikemanusiaan.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan tidak boleh dijadikan hal untuk meningkatkan suhu perbezaan pendapat, sebaliknya semua pihak perlu berusaha menjalankan peranan masing-masing, walaupun kecil.
“Kita nak didik anak-anak supaya mereka faham. Kita jalankan sedaya upaya dan kita tidak memaksa tapi sekurang-kurangnya memberi galakan untuk orang faham, supaya anak-anak tahu kenapa bapa dia bising betul (mengenai isu Palestin), solat hajat, ada perhimpunanlah, di satu dunia sekarang.
“Jadi, anak-anak harus tahu apa isunya? Mengapa Israel menyerang Gaza, apakah baru berlaku sejak 7 Oktober?
“Ia sudah berlaku lebih 70 tahun lalu. Tanah dirampas, rumah dipecahkan, rakyat tidak diberikan hak dan maruah mereka tercemar. Ini harus diberikan kefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Perdana Menteri berkata, tiada hari yang beliau terlepas berbincang mengenai soal Gaza, termasuk bersama pemimpin dunia dan akan ke Riyadh dalam tempoh beberapa lagi bagi menghadiri pertemuan dengan pemimpin dunia Islam untuk membincangkan isu berkenaan, yang diusulkan beliau sebelum ini.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap negara yang bercakap soal demokrasi dan hak asasi manusia, namun membisu dengan kezaliman dan penindasan terang-terangan ke atas umat Islam dan Kristian di Gaza, yang kini sudah membunuh lebih 10,000 nyawa, dengan lebih 70 peratus ialah wanita dan kanak-kanak.
“Keadaan kacau bilau, kompleks dan penuh dengan pertentangan. Kita nak nilai orang bukan lagi daripada percakapannya, tidak pada idea yang dilontarkan tapi pelaksanaan kata-kata,” katanya.
KOMEN