SHAH ALAM – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai di tempat ke-15 dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.
Perkara itu dikeluarkan The Muslim 500 edisi 2025, diterbitkan sebuah pusat kajian bebas, Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt berpangkalan di di Amman, Jordan.
Menurutnya, Anwar juga berada di tempat kesembilan dalam kategori pemimpin dan ahli politik.
The Muslim 500 juga menyenaraikan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al-Hussein di tempat pertama diikuti Ulama dan Pengarah Dar Al Mustafay, Tarim Yaman Sheikh Al-Habib Umar Hafiz; Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Pemimpin Tinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Selain itu Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto dan Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf turut tersenarai di tempat ke-18 dan 19.
Penerbitan itu menggambarkan Anwar sebagai seorang yang pernah mengharungi pemenjaraan, buangan dan cabaran politik sebelum kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.
“Di luar kerjaya politiknya, Anwar telah membuat sumbangan kepada akademik, memegang jawatan di institusi seperti Kolej St Anthony, Oxford, Universiti Johns Hopkins dan Universiti Georgetown.
“Beliau juga merupakan pengasas bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981,” katanya.
Ujar penerbitan tersebut, kelantangan Anwar dalam isu Gaza memperjuangkan hak rakyat Palestin dengan menentang kependudukan haram Israel.
Malah penerbitan tersebut turut menekankan mengenai kejadian syarikat gergasi teknologi Meta yang menurunkan hantaran Anwar terhadap pemimpin Palestin yang dibunuh, Ismail Haniyeh.
“Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas termasuk mendiang pemimpin Hamas yang dibunuh, Ismail Haniyeh mendapat kritikan dari Amerika Syarikat (AS).
“Catatan media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh diturunkan, mendorongnya untuk meyelar META, ‘Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen Zionis Israel yang menindas’,” katanya. – Sinar Harian.
KOMEN